Kedai RuncitPilihan Editor

Pembelian Menerusi Platform e-Dagang Naik 23.3 Peratus

Perbelanjaan ke atas barangan dan perkhidmatan melalui platform e-dagang di Malaysia meningkat kepada 23.3 peratus pada tahun lepas berbanding 11.3 peratus pada 2016, demikian menurut laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan.

Dapatan daripada Survei Perbelanjaan Isi Rumah (HES) 2019 itu juga menunjukkan Selangor mencatatkan peratusan isi rumah paling tinggi menggunakan platform e-dagang iaitu 27.8 peratus, diikuti Johor sebanyak 12.3 peratus dan Pulau Pinang 9.2 peratus.

“Peratusan tertinggi isi rumah yang berbelanja melalui e-dagang adalah sebanyak 9.3 peratus iaitu bagi kumpulan pakaian dan kasut, 6.9 peratus isi rumah berbelanja bagi kategori pelbagai barangan dan perkhidmatan; hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (5.1 peratus); dan komunikasi sebanyak 4.5 peratus.

“Antara barangan yang dibelanjakan adalah seperti blaus, tudung, kemeja, beg tangan wanita dan jam tangan,” demikian menurut kaji selidik itu.

Kaji selidik itu juga mendapati barangan popular yang banyak dibeli oleh isi rumah di Malaysia di bawah kategori Makanan dan Minuman Bukan Alkohol ialah beras iaitu sebanyak 96.9 peratus, diikuti ayam segar (88.8 peratus); roti (87.1 peratus); dan telur ayam sebanyak 85.4 peratus.

“Kuantiti purata yang dibelanjakan untuk beras adalah 11.9 kilogram bagi setiap isi rumah dengan kos sebanyak RM43.54 sebulan,” menurut kaji selidik itu.

Kumpulan hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah yang bersifat pilihan pengguna pula mempunyai nilai populariti yang lebih rendah berbanding keperluan asas.

Dalam kumpulan itu, sebanyak 84.9 peratus isi rumah berbelanja ke atas sabun pencuci pakaian, diikuti tuala (33.9 peratus); penyembur racun serangga (30 peratus) dan permaidani sebanyak 29.1 peratus.

Bagi kumpulan perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan, sebanyak 50.1 peratus isi rumah membuat perbelanjaan siaran TV berbayar, diikuti tiket panggung wayang (26.5 peratus); surat khabar (17.6 peratus) dan barangan keagamaan bukan Muslim sebanyak 14.9 peratus.

Di bawah kumpulan pengangkutan, kaji selidik itu mendapati isi rumah di Malaysia banyak berbelanja untuk bahan api kenderaan bermotor iaitu sebanyak 91.8 peratus, diikuti oleh servis kereta dan motosikal (73.5 peratus); bayaran letak kereta (29.5 peratus) dan mencuci atau menggilap kereta sebanyak 25.7 peratus. – BERNAMA

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button
Close