MalaysiaPilihan Editor

RUU Anti Lompat Parti: Tiga Istilah Utama ‘Lompat Parti’

Ahli Parlimen yang menang dalam sesuatu pilihan raya kemudian mengumumkan keluar parti politik dan menjadi wakil rakyat Bebas atau menyertai parti politik lain antara tiga perkara utama dalam istilah lompat parti.

Bercakap di Dewan Negara hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, berdasarkan draf pentadbiran Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) berkaitan anti lompat parti, antara lain mengistilahkan seseorang ahli Parlimen yang menang kerusi itu tetapi dipecat oleh parti juga dikira sebagai melompat parti.

“Ini bertujuan memastikan ahli Parlimen patuh kepada Perlembagaan atau peraturan serta disiplin parti. Parti yang memecat ahli Parlimen akan berhadapan risiko kehilangan kerusi kerana pilihan raya perlu diadakan semula,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Senator, Datuk John Ambrose, meminta kerajaan menjelaskan sejauh mana tindakan serta perancangan dirangka dalam melaksanakan RUU Anti Lompat Parti.

Selain itu, kata Wan Junaidi, ahli Parlimen Bebas yang menang pilihan raya jika menyertai parti lain dianggap bercanggah dengan amanah yang dipilih oleh rakyat kerana pemilihannya adalah disebabkan seseorang itu bertanding sebagai calon Bebas, dan rakyat mungkin telah menolak calon lain daripada parti disertai tersebut semasa pilihan raya.

“Jika ahli Parlimen Bebas menyertai mana-mana parti, pilihan raya perlu diadakan semula dan individu tersebut tidak hilang kelayakan bertanding mewakili parti baharu dalam tempoh 60 hari dari beliau dipecat dan akan diumumkan oleh Dewan Rakyat sebagaimana tertakluk kepada Fasal 1 Perkara 54 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

“Apabila seseorang itu (ahli Parlimen) dilantik menjadi Speaker Dewan Rakyat serta Dewan Negara dan keahlian dia dalam parti tidak dikatakan melompat parti dan dia kekal menjadi ahli.

“Selain itu adalah penggabungan antara parti dengan parti lain. Itu hak parti untuk bergabung. Contohnya dalam satu gabungan yang besar, satu parti hendak keluar daripada gabungan itu maka ia tidak diistilahkan sebagai lompat parti,” katanya. – UTUSAN

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close