Pemilihan seseorang untuk menjadi calon bertanding pilihan raya seharusnya tidak terikat dengan kaedah lama, sebaliknya perlu lebih dinamik merentasi semua parti dalam Kerajaan Perpaduan, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Beliau berkata, setiap parti dalam Kerajaan Perpaduan perlu mempunyai sikap bertolak ansur dalam pemilihan calon bagi memastikan kemenangan.
“Strategi politik merangkumi banyak benda, antaranya calon, gerak kerja, kesesuaian kawasan yang nak bertanding dan sama ada kita ada pemimpin (bersesuaian) di kawasan itu.
“Kalau dalam sesuatu kawasan itu kita tak ada calon yang bagus, tetapi calon lain lebih bagus dalam Kerajaan Perpaduan (parti gabungan) mungkin ada, kita kena bertolak ansur dan dinamik…tak boleh ini kawasan saya menang jangan masuk campur,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Bentong di sini, hari ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN Nenggiri pada 17 Ogos depan dengan tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 3 dan 13 Ogos.
Kekosongan luar jangka kerusi DUN Nenggiri berlaku selepas DUN Kelantan menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Tubuh daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim pada 13 Jun lalu.
Mohd Azizi gugur keahlian BERSATU dan kerusi DUN berkenaan diumumkan kosong pada 19 Jun lalu oleh Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah. – BERNAMA