Duniaku TeknokratMalaysiaPilihan Editor

BNM kekalkan OPR pada 2.75 peratus

Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus pada mesyuarat keduanya tahun ini.

Paras semasa OPR itu kekal sejak Julai tahun lalu.

MPC berpendapat bahawa pada paras 2.75 peratus itu, pendirian dasar monetari adalah wajar dan memberikan sokongan terhadap ekonomi dalam keadaan harga yang stabil.

MPC akan terus memantau perkembangan semasa dan menilai imbangan risiko berhubung dengan prospek pertumbuhan dan inflasi dalam negeri.

“MPC mengambil maklum tentang ketidaktentuan yang timbul susulan konflik yang sedang berlaku di Asia Barat. Impak kepada ekonomi global dan Malaysia akan bergantung pada perkembangan situasi ini.

Menurut BNM, ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.2 peratus pada tahun 2025, didorong oleh permintaan dalam negeri yang kukuh, eksport elektrik dan elektronik (E&E) yang lebih tinggi dan pelancongan ke dalam negeri yang giat.

Ia berkata, momentum pertumbuhan itu dijangka berterusan pada tahun 2026, berteraskan permintaan dalam negeri yang berdaya tahan.

Katanya, guna tenaga, pertumbuhan upah serta langkah-langkah dasar akan kekal menyokong perbelanjaan isi rumah.

Menurutnya, aktiviti pelaburan akan didorong oleh kemajuan projek berbilang tahun yang dilaksanakan dalam sektor swasta dan awam, pelaksanaan projek awam baharu berskala kecil, lebih banyak pelaksanaan berterusan pelaburan yang telah diluluskan, serta pelan induk nasional yang terus dilaksanakan.

“Sektor luaran akan mendapat manfaat daripada eksport E&E yang terus kukuh dan perbelanjaan pelancong yang lebih tinggi.

“Prospek pertumbuhan ini kekal tertakluk pada ketidakpastian berhubung dengan perkembangan global, termasuk konflik terkini di Asia Barat.

“Risiko prospek pertumbuhan menjadi perlahan kekal berpunca daripada perdagangan global yang lebih perlahan dan pengeluaran komoditi yang lebih rendah daripada jangkaan.

“Sementara itu, potensi pertumbuhan menjadi pesat boleh berpunca daripada prospek pertumbuhan global yang lebih baik, permintaan terhadap barangan E&E yang lebih kukuh dan aktiviti pelancongan yang lebih giat,” katanya.

Mengenai inflasi, BNM berkata, inflasi keseluruhan dan inflasi teras masing-masing berada pada 1.6 peratus dan 2.3 peratus pada Januari 2026.

Ia berkata, secara keseluruhan, inflasi keseluruhan pada tahun 2026 dijangka kekal sederhana.

Katanya, walaupun harga komoditi global mungkin terdedah kepada volatiliti yang lebih ketara berikutan perkembangan terkini, kesannya terhadap inflasi dalam negeri dijangka terkawal.

“Sementara itu, inflasi teras pada 2026 dijangka kekal stabil dan hampir dengan purata jangka panjangnya, mencerminkan pengembangan berterusan dalam kegiatan ekonomi serta ketiadaan tekanan permintaan yang berlebihan,” katanya.

Mengenai ekonomi global, BNM berkata, berlandaskan kekukuhan pada tahun 2025, pertumbuhan global akan terus disokong oleh permintaan dalam negeri yang berterusan, inflasi yang semakin berkurang, pelaburan teknologi yang mantap serta sokongan dasar fiskal dan monetari.

Walau bagaimanapun, katanya, konflik terkini di Asia Barat telah meningkatkan ketidaktentuan dalam ekonomi global.

Menurutnya, kesan terhadap ekonomi global akan bergantung pada tempoh dan keseriusan konflik.

“Berikutan perkembangan terkini, risiko pertumbuhan menjadi perlahan telah meningkat disebabkan oleh ketegangan geopolitik yang semakin meruncing dan volatiliti yang ketara dalam pasaran kewangan global.

“Selain itu, masih terdapat kebimbangan yang berterusan terhadap kemungkinan tarif yang lebih tinggi dan penilaian yang tinggi dalam pasaran kewangan.

“Pertumbuhan berpotensi menjadi pesat termasuk perbelanjaan untuk teknologi yang lebih kukuh, kesan tarif yang lebih sederhana terhadap kegiatan ekonomi serta dasar yang menyokong pertumbuhan di negara maju,” katanya. – BH ONLINE/BACALAHMALAYSIA.MY

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close