GovernansPilihan Editor

Kerajaan Kaji Semula Semua Syarikat Monopoli Di Negara Ini – Perdana Menteri

Kerajaan akan mengkaji semula semua syarikat yang menikmati monopoli pada masa lalu sebagai usaha memastikan perkhidmatan ditawarkan lebih berdaya saing antara mereka.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata semua kementerian sudah diminta mengkaji syarikat monopoli sedia ada di bawah bidang kuasa mereka dalam menggalakkan pembangunan ekonomi yang telus serta persaingan yang adil.

“Ini memerlukan kita membuat beberapa penyelarasan dan peralihan daripada sistem yang saya anggap sebagai huru-hara, usang hanya kerana kepentingan peribadi.

“Apakah rasional di sebalik keputusan untuk memberikan monopoli?.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai pengumuman kerajaan akan menamatkan monopoli syarikat tunggal yang dilantik oleh kerajaan dalam menjalankan pemeriksaan mandatori ke atas kenderaan secara komersial mahupun persendirian iaitu Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM).

Katanya, perkara itu diputuskan Jemaah Menteri pada 17 Mac lalu menyaksikan tiada lagi monopoli PUSPAKOM sebagai penyedia pemeriksaan berkala kenderaan motor berkuat kuasa 1 September 2024.

Dalam pada itu, Anwar berkata, kerajaan juga tidak mengingkari komitmen untuk membantu syarikat Bumiputera.

Beliau berkata, inisiatif sedemikian bukan sahaja perlu telus dan adil, tetapi juga membolehkan persaingan yang adil dalam kalangan syarikat Bumiputera.

“Jika kebimbangan kita adalah untuk melindungi kepentingan Bumiputera, maka lakukan ia secara jelas dan telus serta biarkan mereka bersaing,” katanya.

Minggu lalu, Anwar yang juga Menteri Kewangan dilaporkan berkata, kerajaan akan mengkaji semula monopoli yang dipegang oleh Touch ‘n Go (TnG) sejak 1997.

Katanya, tidak ada sebarang peningkatan ketara dari segi perkhidmatan syarikat itu sejak penubuhannya.

“TnG sudah beroperasi selama kira-kira dua dekad, tetapi tidak ada sebarang kemajuan yang meyakinkan,” katanya. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close