GovernansMalaysiaPilihan Editor

PEMULIH Tunjuk Sikap Kebertanggungjawaban Kerajaan PN Cakna Kepada Keperluan Rakyat – Kaukus Kesejahteraan RakyatDewan Negara

Oleh wartawan BacalahMalaysia.my

 

Pengumuman Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) bernilai RM150 bilion menunjukkan sikap kebertanggungjawaban Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang cakna kepada keperluan rakyat tanpa mengenal erti penat lelah dan putus asa sejak penularan wabak COVID-19.

Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara menyanjung tinggi di atas ilham kepimpinan anggota Kabinet diketuai YAB Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sentiasa merancang dalam penyediaan pakej rangsangan, pakej perlindungan, pakej pemerkasaan serta pakej pemulihan demi kesejahteraan rakyat dan negara.

Pengerusinya, Senator Datuk Razali Idris menyifatkan ini suatu pengorbanan besar Kerajaan PN demi rakyat jelata untuk memastikan setiap agenda prihatin rakyat direalisasikan, kelangsungan perniagaan terus disokong serta usaha meningkatkan vaksinasi dilipatgandakan supaya tercapai imuniti kelompok menjelang akhir tahun 2021.

“Tidak usahlah pihak tertentu berebut-rebutkan kuasa, jawatan atau peralihan kepimpinan politik pada waktu susah payah rakyat jelata serta kepayahan negara yang masih mendepani pandemik COVID—19, yang akhirnya merugikan rakyat dan negara.

“Kepentingan pemulihan ekonomi negara adalah agenda paling penting.

“Bagi mencapai pemulihan itu, Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara berharap pelaksanaan meningkatkan vaksinasi digerakkan secara tuntas dan komprehensif,” katanya dalam satu kenyataan media.

Menurut Razali yang juga Timbalan Presiden Majlis Senator Malaysia, logistik dan pengangkutan perlu dijadikan teras utama dalam soal mobiliti tidak kiralah pihak berwajib masuk ke setiap lorongan rumah kediaman di bandar-bandar mahu pun laluan kampung atau desa di kawasan pedalaman.

“Pusat Pemberian Vaksin (PPV) perlu lebih dinamik dari aspek lokasi dan pergerakan walaupun telah dirancang secara pandu lalu, PPV Bergerak serta adanya program Outreach Home-to-Home dengan peruntukan keseluruhan RM200 juta.

“Ini termasuklah proses pendaftaran vaksin dipermudahkan terutama di kawasan pedalaman yang memerlukan kesegeraan proses vaksinasi yang lazimnya tiada kemudahan internet dan prasarana yang lain,” ujarnya lagi.

Sehubungan itu, beliau turut mendapati semua golongan rakyat Malaysia termasuk B40, M40 dan T20 tidak tercicir dalam pelaksanaan PEMULIH. Ini adalah satu contoh terbaik kerajaan PN mengambi kira keluhan dan nadi denyut rakyat jelata.

“Adalah diharapkan sistem penyampaian dan agihan seperti kemudahan pengeluaran baharu daripada akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) iaitu i-Citra, kemudahan moratorium automatik selama enam bulan, Bantuan Prihatin Rakyat (BPR), Bantuan Khas COVID-19 dan Bantuan Bakul Makanan adalah sifar birokrasi,” kata Razali.

Di samping itu, Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara juga berharap peruntukan RM300,000 kepada setiap ahli Parlimen termasuk pembangkang untuk melaksanakan Bantuan Bakul Makanan kepada golongan terjejas di kawasan masing-masing, tidak mengecualikan juga Ahli Dewan Negara.

Di bawah PEMULIH, pastinya komuniti perniagaan dan usahawan menarik nafas lega dengan beberapa pendekatan yang lebih mesra diambil termasuk mengurangkan kos tanggungan majikan, menyokong usaha digitalisasi, memberikan kemudahan bantuan kewangan dan insentif percukaian, menyediakan fasiliti pembiayaan dan meneruskan insentif penggajian.

Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara mengalu—alukan langkah berhemah Kerajaan PN yang menyediakan bayaran tambahan di bawah Geran Khas Prihatin (GKP) 4.0 serta Program Subsidi Upah (PSU) 4.0 yang dijangka memanfaatkan lebih 2.5 juta pekerja.

“Moga di bawah pelaksanaan PEMULIH dan kebijaksanaan pemerintah, maka pembangunan ekonomi negara dapat dipulihkan mengikut yang dirancang, moga sebaik-baiknya negara Malaysia akan bebas COVID-19 apabila memasuki tahun 2022, insya-Allah,” kata Razali. – BACALAHMALAYSIA.MY

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close