Syarikat penerbangan nasional, Malaysia Airlines Bhd melancarkan jualan akhir tahun depan harga tiket bermula RM79 ke destinasi domestik dan daripada RM229 ke destinasi antarabangsa bagi pengembara yang menempah tiket antara 28 November hingga 11 Disember ini.
Dengan pengumuman terbaharu kemasukan bebas visa 15 hari bagi rakyat Malaysia mengembara ke China berkuat kuasa 1 Disember ini, Malaysia Airlines menawarkan tambang pergi balik Kelas Ekonomi daripada RM1,099 ke Guangzhou, daripada RM1,599 ke Shanghai dan daripada RM1,699 ke Beijing.
Sementara itu, mereka yang menempah penerbangan ke laluan yang baru dilancarkan oleh Malaysia Airlines iaitu Amritsar, Trivandrum dan Ahmedabad boleh menikmati tambang pergi balik daripada RM999 di Kelas Ekonomi.
Bermula 15 Januari 2024, syarikat penerbangan itu akan meningkatkan kekerapan laluan Kuala Lumpur-Amritsar, susulan permintaan dan prestasi faktor muatan yang tinggi, daripada dua kali seminggu kepada empat kali seminggu. – BH ONLINE