Pembabitan wanita dalam bidang automotif memang tidak begitu ramai berbanding lelaki, namun kehadiran kaum hawa menerajui industri berkenaan wajar dibanggakan.
Kepakaran dan pengetahuan dalam bidang itu mampu mengelak menjadi mangsa penipuan apabila membawa kereta ke bengkel yang majoriti dimiliki tauke lelaki.
Justeru, bagi Pengarah Pantas Unggul, Rosmawati Ismail, 47, iaitu kedai potong kereta yang menjual alat ganti kenderaan terpakai yang bertapak di Sungai Buloh, bangga pada diri sendiri kerana bukan saja dapat memecah monopoli lelaki dalam bidang itu, malah tahu setiap inci perniagaan dan produk dijual.
Ibu enam anak berusia lapan sehingga 26 tahun itu berkata, selain menguruskan sendiri akaun syarikat yang ditubuhkan sejak 2021, dia juga tahu setiap inci alat ganti kenderaan yang dijual.
“Saya tahu mengenai alat ganti kenderaan sejak sebelum memiliki perniagaan ini lagi apabila saya membantu suami, Nashruddin Awang, di kedai potong kereta miliknya di Gombak.
Menceritakan mengenai penubuhan syarikat miliknya, wanita berasal dari Machang, Kelantan itu berkata, dia bermula dengan membantu suaminya menguruskan akaun dan hal pentadbiran di kedai milik lelaki itu.
Katanya, suaminya membuka kedai potong kereta pada 2015 selepas tujuh tahun menimba pelbagai pengalaman dalam industri itu.
“Ketika suami membuka kedai miliknya, saya masih bekerja sebagai kerani dengan sebuah syarikat dari Jepun dan ketika sedang cuti berpantang anak bongsu, saya terkejut melihat cara suami menguruskan syarikat kerana kurang teratur.
“Dengan pengalaman yang ada, saya berasa terpanggil untuk membantunya ketika itu kerana ia dapat mengurangkan kos memandangkan syarikat masih baharu.
“Walaupun sedang berpantang ketika itu, saya tetap membantu menguruskan bahagian akaun dan pentadbiran supaya lebih sistematik dan bersyukur ia berjalan dengan baik,” katanya.
Rosmawati berkata, ketika itu syarikat hanya mempunyai tiga pekerja dan dia dan suami yang bertungkus-lumus mencari sendiri kereta terpakai di merata tempat untuk dijadikan alat ganti.
Katanya, beberapa bulan selepas itu, dia nekad berhenti kerja bagi membantu suaminya sepenuhnya menguruskan kedai berkenaan.
“Keputusan yang dibuat itu adalah kehendak saya sendiri kerana selain dapat membantu suami, saya juga dapat belajar banyak perkara baharu dalam dunia automotif,” katanya.
Beliau berkata, melihatkan syarikat suaminya semakin maju, dia dan suami berfikir untuk membuka cawangan kedua bagi memenuhi permintaan.
Buka bengkel guna wang simpanan

Katanya, dengan modal simpanan sendiri kira-kira RM100,000, dia berjaya membuka sendiri kedai potong kereta di Sungai Buloh dan mempunyai sembilan pekerja.
“Kini saya bukan sahaja menguruskan sendiri kedai, pada masa sama masih menguruskan akaun dan pentadbiran syarikat suami,” katanya.
Beliau berkata, harapan dia dan suami untuk membeli tanah untuk membuka satu kedai potong kereta yang besar di lokasi sesuai.
Katanya, ketika ini tanah di kedua-dua lokasi syarikat itu disewa daripada kerajaan dan pemilik tanah.
“Saya yakin apabila dapat menjalankan perniagaan di tanah milik sendiri, dapat mengurangkan banyak lagi kos sekali gus berkongsi lebih banyak rezeki kepada mereka yang memerlukan,” katanya.
Kongsi rezeki

Selain itu, Rosmawati juga berkongsi rezeki dengan membantu golongan memerlukan seperti menaja lebih 20 van kepada pelbagai pusat tahfiz di seluruh negara untuk membawa pelajar terutama ke masjid.
Mereka juga turut menaja van jenazah kepada lebih tujuh pihak yang memerlukan.
“Ada ya g memohon mendapatkan bantuan itu dan ada yang kami cari sendiri untuk diberikan kepada yang layak menerima.
“Walaupun kami hanya memberi kenderaan terpakai tetapi syukur kerana penerima amat berbesar hati dengan pemberian kami.
“Malah, kami juga turut memberi jaminan alat ganti kerana tidak mahu merasa berasa terbeban,” katanya.
Rosmawati juga sudah beberapa kali membantu pihak berwajib mengalihkan pokok tumbang akibat cuaca buruk.
Bantuan itu untuk membantu pengguna jalan raya sementara menunggu pihak berwajib tiba kerena mereka ada peralatan yang sesuai.
“Malah, kami juga bantu dengan menawarkan alat ganti pada harga berpatutan kerana tahu tidak semua orang mampu membeli kereta baharu,” katanya. – BH ONLINE




