Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini mengumumkan kadar dividen 2025 sebanyak 6.15 peratus bagi Simpanan Konvensional dan Shariah.
Pengagihan dividen bagi tahun berakhir 31 Disember 2025 itu membabitkan agihan sebanyak RM67.1 bilion bagi Simpanan Konvensional dan RM12.5 bilion bagi Simpanan Shariah dengan jumlah keseluruhan agihan RM79.6 bilion.
Pengkreditan dividen bagi Simpanan Konvensional dan Shariah selesai esok dan ahli boleh menyemaknya melalui i-Akaun atau Terminal Layan Diri (SST) KWSP di seluruh negara.
Bagi tahun dikaji, KWSP mencatatkan jumlah pendapatan boleh agih sebanyak RM82.7 bilion, meningkat 9.5 peratus berbanding RM75.5 bilion pada tahun 2024.
Aset pelaburan meningkat kepada RM1.409 trilion, menokok 12.8 peratus daripada RM1.250 trilion, didorong oleh pendapatan portfolio serta jumlah caruman bersih sebanyak RM66.5 bilion.
Katanya, pasaran ekuiti yang berdaya tahan menjadi pemacu utama pendapatan KWSP, disokong oleh pulangan stabil daripada pendapatan tetap dan kepelbagaian portfolio yang kukuh.
“Pencapaian ini mencerminkan pendekatan jangka panjang kami calam melindungi simpanan ahli bagi memastikan pulangan yang mampan.
“Walaupun berdepan tekanan tarif dan perkembangan geopolitik, ekonomi global kekal kukuh pada tahun 2025. Inflasi yang semakin terkawal membolehkan bank-bank pusat utama melonggarkan dasar monetari, sekali gus mewujudkan persekitaran yang lebih kondusif untuk pelabur jangka panjang,” katanya kepada media selepas pengumuman prestasi kewangan KWSP di sini.

Ekonomi Malaysia berkembang 5.2 peratus pada 2025, disokong oleh permintaan domestik yang stabil dan eksport yang berdaya tahan.
Reformasi fiskal, reformasi struktural dan pelaksanaan inisiatif strategik nasional terus memperkukuh aktiviti pelaburan serta meningkatkan keyakinan perniagaan, manakala pelarasan kadar dasar oleh Bank Negara Malaysia (BNM) kepada 2.75 peratus menyokong momentum pertumbuhan ekonomi.
Ahmad Zulqarnain berkata, portfolio pelaburan KWSP yang pelbagai merangkumi kelas aset dan pasaran, dipandu oleh Alokasi Aset Strategik, membolehkan pengurus dana persaraan nasional itu menghadapi turun naik pasaran yang memuncak pada suku kedua selepas pengumuman tarif import timbal balik oleh Amerika Syarikat (AS).
“Walaupun kitaran pasaran boleh membawa ketidaktentuan jangka pendek, pengurusan risiko yang berdisiplin dengan strategi pelaburan jangka panjang terus menjadi teras dalam mengekalkan daya tahan dan menjana pulangan yang konsisten untuk ahli,” kata katanya.
Ekuiti kekal penyumbang utama pendapatan pelaburan
Sementara itu, ekuiti kekal sebagai penyumbang utama pada 2025 dengan menjana RM50.7 bilion, atau 64 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan.
Jumlah ini mengatasi RM49.9 bilion yang dicatatkan pada 2024, manakala pulangan pelaburan (ROI) sederhana kepada 7.9 peratus berikutan ketidaktentuan pasaran global dan keadaan pasaran domestik yang lebih perlahan.
Menurut KWSP, pelaburan Ekuiti Persendirian, yang merangkumi sekitar 8.0 peratus daripada pelaburan ekuiti, mencatatkan ROI sebanyak 10.5 peratus, manakala Instrumen Pendapatan Tetap, yang sebahagian besarnya terdiri daripada Sekuriti Kerajaan Malaysia, mengukuhkan portfolio KWSP dengan aliran pendapatan yang stabil, menyumbang sebanyak RM26.3 bilion, atau 33 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan, dengan ROI sebanyak 4.3 peratus.
Seiring penurunan kadar hasil sepanjang tahun, pengurus dana berupaya merealisasikan keuntungan modal secara berhemah di samping mengambil langkah teliti bagi memastikan hasil portfolio kekal berada pada kedudukan yang baik untuk menjana pulangan masa hadapan.
Selain itu, Hartanah dan Infrastruktur menjana pendapatan sebanyak RM1.6 bilion dengan ROI sebanyak 4.8 peratus berdasarkan mata wang tetap, manakala instrumen Pasaran Wang menyumbang RM600 juta dengan ROI sebanyak 1.6 peratus.
Kadar tukaran ringgit turut pengaruhi pendapatan pelaburan
Mengulas lanjut, Ahmad Zulqarnain berkata, memandangkan sebahagian besar pelaburan KWSP didenominasikan dalam mata wang selain ringgit, prestasinya turut dipengaruhi oleh kadar pertukaran asing apabila ringgit mengukuh berbanding dolar AS. Jumlah pendapatan pelaburan yang direkodkan adalah sebanyak RM79.2 bilion.
“Selaras dengan tahun-tahun sebelumnya, jumlah ini merangkumi keuntungan dan kerugian belum direalisasikan berasaskan penilaian mark-to-market ke atas sekuriti, yang disebabkan terutamanya daripada turun naik kadar pertukaran asing,” katanya.
Pendapatan pelaburan bagi Simpanan Konvensional dan Shariah masing-masing berjumlah RM66.2 bilion dan RM13.0 bilion, manakala ekuiti merangkumi 46.1 peratus daripada jumlah aset, manakala instrumen Pendapatan Tetap merangkumi 44.7 peratus.
Hartanah dan Infrastruktur serta instrumen Pasaran Wang masing-masing mewakili 6.0dan 3.2% peratus, sementara pelaburan domestik terus menjana pendapatan yang stabil.
Jumlah aset RM1.409 trilion, keahlian meningkat kepada 18.1 juta
Daripada jumlah aset sebanyak RM1.409 trilion setakat Disember 2025, sebanyak 61.7 peratus dilaburkan dalam pasaran domestik, menjana RM39.3 bilion atau 49.6 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan, manakala pasaran global yang merangkumi 38.3 peratus daripada portfolio, menjana pendapatan sebanyak RM39.9 bilion, bersamaan 50.4 peratus.
Keahlian KWSP meningkat kepada 18.1 juta, disokong oleh penyertaan tenaga kerja yang lebih meluas termasuk pekerja bukan warganegara Malaysia.
Bilangan ahli aktif meningkat kepada 10.6 juta, sekali gus menambah baik nisbah ahli aktif kepada tidak aktif kepada 59:41.
Menurut KWSP, pendaftaran baharu kekal kukuh dengan 2.8 juta ahli baharu dan 89,649 majikan baharu, menjadikan jumlah keseluruhan majikan aktif sebanyak 640,391.
Caruman sukarela pula terus mencatat momentum positif, meningkat kepada RM19.2 bilion.
Program i-Saraan menjadi pemacu utama, dengan jumlah penerima insentif meningkat 35.9 peratus kepada 720,056 dan jumlah caruman meningkat 50.8 peratus kepada RM4.0 bilion.
Ekonomi global dijangka berdaya tahan
Menuju ke hadapan, Ahmad Zulqarnain berkata, ekonomi global dijangka kekal berdaya tahan dengan inflasi yang semakin sederhana dan kitaran pelonggaran dasar monetari secara berperingkat menyokong kestabilan kewangan bagi perniagaan dan isi rumah.
“Prospek Malaysia disokong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan, pasaran buruh yang sihat dan peningkatan pelaburan swasta, di samping aktiviti pelancongan yang meningkat serta eksport berasaskan teknologi yang berterusan.
“Justeru, KWSP kekal berhemah dalam unjurannya memandangkan ketidaktentuan global yang berlarutan. Pendekatan pelaburan kami berteraskan disiplin, kepelbagaian aset dan tadbir urus yang kukuh.
“Sebagai dana persaraan jangka panjang, KWSP beroperasi dengan pendekatan pelaburan untuk tempoh panjang, dengan mengambil kira bahawa pulangan mungkin berbeza dari tahun ke tahun, dan kekal fokus kepada pulangan yang mampan dalam jangka masa panjang bagi membolehkan ahli mendapat manfaat daripada kesan faedah berganda untuk pertumbuhan simpanan mereka,” katanya. – BH ONLINE




