Dimensi Bisnes

Pendapatan Bank-Bank Menepati Jangkaan – Penganalisis

Pendapatan bank-bank pada suku ketiga 2020 ditetapkan oleh tahap peruntukan tinggi dan kebimbangan mengenai bagaimana moratorium akan berjalan susulan daripada situasi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), kata MIDF Research, hari ini.

“Pendapatan bank-bank kebanyakannya memenuhi jangkaan kami, dengan dua yang berprestasi rendah. Seperti dijangka, pendapatan semua bank di bawah tinjauan kami telah ditetapkan oleh tahap peruntukan tinggi yang mengakibatkan pendapatan yang lebih rendah,” katanya.

Bank-bank terus menambah lapisan pengurusan untuk menyediakan penampan yang mencukupi sekiranya keadaan semasa membawa kepada tekanan kepada kualiti asetnya.

“Kami melihat kerugian pinjaman semasanya meningkat  yang menunjukkan sikap berhati-hati bank. Namun, peruntukan sedikit lebih baik berdasarkan asas suku,” katanya nota penyelidikan hari ini.

Pendapatan faedah bersih (NII) terus lemah tetapi ini tidak menghairankan memandangkan banyak penurunan kadar dasar semalaman (OPR) yang mengakibatkan pemampatan margin faedah bersih.

Pada bulan Julai, Bank Negara Malaysia (BNM) menurunkan OPR kepada 1.75 peratus, ia merupakan paras terendah sejak tahun 2004. Ia mengekalkan kadar itu pada bulan November.

Bagaimanapun, MIDF berkata terdapat peningkatan pada suku itu ketika margin faedah bersih (NIM) kembali ke paras normal daripada ketiadaan kerugian pengubahsuaian dan pengurusan kos pendanaan yang lebih baik.

Sementara itu, pendapatan tanpa faedah terus memberikan sokongan yang membolehkan bank meningkatkan tahap peruntukan mereka.

“Kebimbangan kami adalah mengenai bagaimana moratorium pinjaman akan berakhir dalam persekitaran PKPB,” katanya.

Maybank Investment Bank Research (Maybank IB Research) juga berkata kenaikan pinjaman terjejas dijangka akan berlaku selepas tempoh moratorium tamat.

Pembayaran balik pinjaman dimulakan semula dari 1 Oktober 2020 telah menyebabkan pinjaman terjejas meningkat, ia naik tiga peratus bulan ke bulan pada bulan Oktober, dan lebih tinggi di kebanyakan segmen pinjaman pengguna.

Nisbah pinjaman terjejas kasar industri meningkat kepada 1.43 peratus pada Oktober 2020 daripada 1.38 peratus pada bulan September 2020.

Ia berkata terdapat juga sedikit penurunan pertumbuhan pinjaman daripada 4.4 peratus pada bulan September kepada 4.3 peratus pada Oktober, 2020.

Pertumbuhan hutang isi rumah sedikit lebih perlahan pada 5.1 peratus berbanding 5.2 peratus pada September, 2020 sementara pertumbuhan pinjaman bukan hutang isi rumah tidak berubah pada 3.2 peratus tahun ke tahun.

Secara tahunan, pertumbuhan pinjaman industri perlahan menjadi 3.7 peratus pada bulan Oktober daripada empat peratus pada bulan September, 2020.

Pertumbuhan deposit lebih perlahan pada 3.9 peratus tahun ke tahun pada Oktober 2020 berbanding 4.7 peratus pada September 2020, tetapi lonjakan kenaikan dalam akaun simpanan semasa berlanjutan, ia meningkat 22.2 peratus pada bulan Oktober daripada 20.5 peratus pada September. — BERNAMA

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close