Kedai RuncitPilihan Editor

Peniaga Nasi Kukus Raih RM14,000 Sebulan Jual Makanan Guna Mesin Layan Diri

Seorang peniaga nasi kukus tidak menyangka keputusan menyertai program perniagaan mesin layan diri di bawah Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) mampu merubah graf pendapatan bulanannya apabila meraih jualan melebihi RM14,000 sebulan.

Lebih menggembirakan Mohd Hermi Shahuddin, 47, dia kini tidak lagi dibelenggu masalah pendapatan tidak menentu seperti dialami sebelum menyertai program IPR kategori Inisiatif Usahawan Makanan (INSAN) itu, yang diperkenalkan Kerajaan MADANI melalui Kementerian Ekonomi pada Mac tahun lalu.

Bapa empat anak perempuan itu berkata, sebelum menyertai program berkenaan, dia hanya berniaga secara kecil-kecilan dengan membuka gerai di tepi jalan di kawasan Fasa 3 Bandar Puncak Alam, di sini, selain mengambil tempahan makanan untuk majlis keraian di kawasan sekitar.

Menurutnya, dengan pelbagai cabaran dihadapi seperti faktor cuaca, makanan tidak habis dijual, selain perlu ‘menutup kedai’ untuk membawa seorang anaknya yang juga orang kurang upaya (OKU) bertemu doktor, kerja keras yang dilakukan hanya mampu meraih jualan tidak sampai RM8,000 sebulan.

“Perniagaan kami sebelum ini memang banyak cabaran dengan pendapatan boleh terjejas bila-bila masa sahaja. Ada ketika, makanan langsung tidak boleh dijual, terutama ketika hujan lebat menyebabkan modal dan makanan pada hari itu kadangkala ‘hangus’ begitu sahaja.

Mohd Hermi dan isteri, Fadilah Hanum Abu, 47, mengusahakan perniagaan makanan dari mesin layan diri di Kolej Angsana 2, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Selangor (UCS) kampus Puncak Alam.

Mereka menyifatkan penyertaan dalam program IPR sebagai tidak sia-sia, malah tidak perlu mengeluarkan modal untuk penyediaan makanan dan bayaran sewa kerana kos itu ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan bagi tempoh dua tahun.

Antara makanan dijual menerusi mesin layan diri itu adalah nasi lemak ayam goreng, nasi lemak pandan, roti kebab daging, roti sosej gulung, set bebola daging, ‘popcorn’ ayam dan nasi ayam pedas, yang kesemuanya dimasak sendiri mereka berdua.

“Semua makanan ini dijual pada harga RM2 hingga RM5. Bagi mengekalkan kualiti dan rasa, menu akan ditukar atau ditambah setiap enam jam dalam tempoh sehari.

“Ini bermakna program IPR bukan sahaja memberi manfaat kepada usahawan malah memberi pilihan kepada orang ramai untuk membeli makanan siap masak pada harga berpatutan dan murah,” kata Mohd Hermi sambil berterima kasih kepada kerajaan kerana menyediakan inisiatif yang menguntungkan rakyat.

Katanya, dia kini boleh memperuntukkan lebih masa bersama keluarga kerana perniagaan itu boleh dipantau dari jauh menerusi aplikasi khas untuk mengetahui status stok makanan atau jika ada sebarang masalah teknikal terhadap mesin layan diri berkenaan.

“Saya berasa cukup bertuah kerana dipilih menyertai program IPR daripada ribuan permohonan yang diterima kementerian. Pastinya program ini membuka prospek baharu kepada usahawan kecil seperti saya menjana pendapatan sekali gus meningkatkan nilai jualan sedia ada,” katanya.

Sementara itu, Rektor UCS, Prof Dr Ahmad Taufek Abdul Rahman, berkata kampus itu adalah kampus IPTA pertama yang melancarkan mesin layan diri menerusi program IPR INSAN yang menjual makanan pada harga RM2 hingga RM5.

Menurutnya, ketika ini sembilan mesin layan diri IPR beroperasi di Kampus Puncak Alam dan satu lagi dalam proses untuk memulakan operasi, selain merancang meluaskan lagi inisiatif sama ke fakulti dan kolej pengajian lain bagi memberi ruang kepada peserta IPR terpilih menjana pendapatan.

Ahmad Taufek berkata, Kementerian Ekonomi dengan kerjasama Bahagian Ehwal Pelajar UiTM turut memberi kursus keusahawan kepada semua 43 peserta IPR di UiTM seluruh negara dengan UCS menjadi peneraju kepada projek terbabit.

“Kursus ini merangkumi pertama, modul wajib dengan semua peserta perlu menyertai kursus literasi kewangan dan modul kedua, peserta diberi empat pilihan sama ada mengambil bahagian dalam kursus bantuan makanan, kursus pertanian, kursus perikanan atau kursus transformasi minda,” katanya.

Pada Mac 2023, Menteri Ekonomi, Mohd Rafizi Ramli melancarkan program mesin layan diri IPR dan kerajaan menyasarkan mesin berkenaan dapat diperluas kepada 5,000 penerima di bawah IPR INSAN pada tahun ini.

Menerusi inisiatif INSAN, penerima akan diberikan mesin layan diri di tempat terpilih serta kos sewaan bulanan yang dianggarkan antara RM600 hingga RM800 ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan selama dua tahun. – BERNAMA

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close