Kedai RuncitPilihan Editor

Ramadan Bulan ‘Durian Runtuh Buat Peniaga Kuih, Tukang Jahit

Kedatangan Ramadan sememangnya dinantikan oleh peniaga, malah dianggap ‘durian runtuh’ bagi mereka terutama yang menghasilkan kuih-muih, biskut atau menjahit.

Walaupun hanya sebulan, tempoh itu sudah cukup menambahkan rezeki sekali ganda kepada pengusaha kuih tradisional Kelantan, Zanita Mat Ali, 51, yang menjalankan penghasilan aneka manisan itu sejak lebih 20 tahun lalu.

Zanita berkata, seawal jam 6 pagi dia bersama tiga anaknya serta seorang menantu sudah mula ‘bersilat’ di dapur untuk menghasilkan 12 jenis kuih tradisional sama ada dijual di bazar Ramadan atau memenuhi tempahan pelanggan.

“Kami menghasilkan 12 jenis kuih antaranya jala emas, buah tanjung, akok, tahi itik, sekaya telur, aneka agar-agar dan puding.

“Saya menghantar kuih kepada tujuh kedai manakala untuk jualan sendiri pula, tiga anak dan menantu akan menjualnya di dua tapak di bazar Ramadan Wakaf Bharu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pasir Pekan, Tumpat, Kelantan.

Menurutnya, untuk penghasilan jualan sepanjang Ramadan itu, dia sudah menyediakan barang mentah seminggu sebelum Ramadan termasuk telur, tepung gandum serta gula pasir.

“Harga barang mentah semakin mahal tapi harga kuih-muih saya ini masih dikekalkan kerana tidak sampai hati untuk menaikkan harganya.

“Tak mengapa jika tidak mendapat untung yang besar asalkan masih tidak menanggung kerugian kerana saya ingin mengekalkan permintaan dan menjaga hati pelanggan.

“Untuk penghantaran di luar Kelantan, ia dilakukan dengan lori dan kuih-muih saya ini tidak cepat rosak sebaliknya boleh bertahan sehingga tiga hari manakala bagi tahi itik pula empat hari,” katanya sambil memberitahu memperoleh pendapatan kasar sekitar RM35,000 untuk sebulan Ramadan.

Menurut Zanita, pelanggannya semakin ramai dengan adanya media sosial kebelakangan ini malah setiap hari, anaknya Siti Nur Aisyah Asyari, 27, akan bersiaran secara langsung menerusi TikTok ketika sedang menghasilkan kuih.

Ramai berhasrat membeli kuih tradisionalnya terutama perantau berada di luar Kelantan namun walaupun semakin banyak permintaan, dia hanya menghasilkan kuih itu sekadar termampu.

“Walaupun sudah lima tenaga digunakan, kerja menghasilkan kuih tradisional ini agak penat dan selepas siap menjelang tengah hari, tugas disambung dengan menjual di bazar Ramadan,” katanya.

Banyak terima tempahan baju raya

Selain penghasilan kuih-muih, rezeki lebih turut dinikmati tukang jahit apabila tempahan baju raya agak ‘lebat’ diterima dan menurut Hazama Hasan, 51, dari Kampung Tok Malek, Tumpat di sini, tempahan baju raya sudah ditutup pada awal Ramadan.

 

Hazama tidak menang tangan menyiapkan tempahan jahitan untuk baju raya daripada pelanggan.
Hazama tidak menang tangan menyiapkan tempahan jahitan untuk baju raya daripada pelanggan.

 

Meskipun tempahan baju raya yang diterima tidak sehebat Ramadan sejak beberapa tahun lalu disebabkan ramai lebih memilih membeli pakaian dalam talian, Hazama berkata, tempahan masih diterimanya dan banyak berbanding bulan biasa.

“Sebelum Ramadan saya sudah menghentikan tempahan kerana ingin tumpukan kerja menjahit dan selain baju raya, saya banyak terima tempahan pakaian untuk majlis kahwin (tema warna).

“Walaupun mendapat persaingan dengan pakaian dalam talian, ramai pelanggan datang mengubah suai pakaian dibeli itu atas pelbagai masalah.

“Dari segi harga, saya tidak menaikkannya terlalu banyak kerana premis pun dalam kawasan kampung tapi cukuplah jika dikatakan Ramadan memang dianggap durian runtuh buat kami,” katanya sudah 30 tahun menjahit. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close