Oleh Kuli Tinta
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) disifatkan sebagai tabung simpanan persaraan tertua dan yang terbesar di dunia.
Kedengaran bunyi itu sangat hebat. Katanya idea asal datangnya dari seorang warga Inggeris yang telah memulakan perkhidmatan wang simpanan pekerja di pejabat pos.
Transaksi pada masa tersebut adalah berasaskan cara manual iaitu penggunaan buku–buku lejar untuk mencatatkan data–data setiap transaksi.
Melihat akan kepentingan awalan KWSP itu, akhirnya ditubuhkan secara sistematik pada 1951, di mana KWSP membantu tenaga kerja Malaysia menabung untuk persaraan mereka selaras dengan Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja 1991. Hari ini, KWSP terus menyempurnakan lagi visi yang bukan saja untuk kekal relevan tetapi untuk mencipta persaraan yang lebih baik untuk semua ahli.
Tetapi soal yang besar sekarang adakah KWSP dianggap penyelamat untuk masa depan atau sebaliknya ?
Menurut institut bertaulih Malaysian Financial Planning Council (MFPC), perancangan kewangan ialah penggunaan data simpanan untuk membentuk kekayaaan, seterusnya dana pemeliharaan daripada susut nilai, dan akhirnya pengagihan kekayaan dana tersebut.
Pendekatan yang mencerminkan perancangan kewangan meliputi perancangan kredit and tunai, perancangan risiko dan insuran, perancangan cukai, perancangan cukai, dan perancangan persaraan dan perancangan hartanah. Namun, pendekatan ini bergantung kepada objektif semasa dalam kitar hidup seseorang yang berubah dan dinamik.
Dulu-dulu, Bank Dunia telah memperkenalkan Kerangka Persaraan Pelbagai Tunggak Bank Dunia yang berhasrat mengatasi isu perlindungan sosial yang berlaku di dalam sesebuah negara, tetapi tak tahu sekarang, menjadi atau tidak ?
Baharu-baharu ini KWSP ada mengumumkan inisiatif Penstrukturan Semula Akaun KWSP dengan semua akaun ahli di bawah umur 55 tahun akan distruktur kepada tiga akaun iaitu Akaun Persaraan, Akaun Sejahtera dan Akaun Fleksibel.
Ramai yang teruja, mungkin tidak sabar-sabar untuk membuat pengeluaran atas pelbagai sebab. Tidak mengapalah kerana itu wang mereka.
Tetapi ramai juga suram, mungkin dikatakan Akaun Sejahtera atau Akaun Kedua itu sudah tidak berbaki atau kurang RM500. Nak keluar wang pun dalam Akaun Fleksibel, suam-suam ku sahajalah.
Tetapi pencarum KWSP harus faham atas tujuan objektif KWSP itu sendiri. Bersabar dan bertabah dalam sesuatu perkara baharu.
Kuli Tinta dapat maklum seramai 52,442 penjawat awam juga terbabit dalam penstrukturan semula akaun KWSP bermula 11 Mei ini.
Ini JPA yang dah maklum. Moga penjawat awam memperolehi manfaat itu.
Mungkin ramai juga tertanya-tanya bagaimana pula langkah kerajaan yang berkehendakkan tiada lagi pencen bagi pengambilan penjawat awam baharu dan mungkin ditawarkan kepada potongan KWSP ?
Kekadang perkara baharu sebegini perlu diperjelaskan secara berhemah.
Jangan lunturkan semangat rakyat Malaysia yang berkelayakan ingin menabur bakti kepada perkhidmatan kerajaan atau awam dan negara semata-mata dilihat tiada lagi PENCEN.
Kuli Tinta berasakan sebagai mewujudkan daya tarikan kepada sektor awam, tawaran penggajian dan ganjaran dalam sektor awam mesti ada pendekatan memukau. Gaji permulaan yang tinggi, elaun dan ganjaran yang menyakinkan kepada bakal penjawat awam baharu.
Kalau tidak, mungkin akan berlaku kemerosotan jumlah penjawat awam yang mendadak dalam jangka masa lima sehingga 10 tahun mendatang. Tidak mengapalah, biarkan kerajaan seadanya berfikir kuat akan perkara itu.
Kuli Tinta sekadar memberi idea dan pandangan supaya anak cucu cicit piut dan seterusnya tidak berasakan diri terasing atau menjadi orang asing dalam negara asalnya. – BACALAHMALAYSIA.MY
- Penulis ialah seorang pemerhati hal-ehwal kemasyarakatan yang mementingkan keamanan, kesejahteraan dan damai. Punya pengalaman hampir 30 tahun dalam dunia tinta yang tiada titik-noktahnya.