MalaysiaPilihan Editor

OPR Kekal Beri Peluang Rakyat, Peniaga ‘Bernafas’

Keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) adalah bagi menyokong ekonomi domestik terus mengekalkan momentum pemulihan.

Penganalisis ekonomi Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, berkata BNM turut memikirkan kesan kenaikan sebanyak satu peratus tahun lalu, apabila rakyat dan perniagaan masih menyesuaikan kehidupan serta operasi masing-masing setelah kenaikan kadar faedah empat kali berturut-turut.

“Misalnya, syarikat perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang menyertai bidaan dan tender kerajaan kini mempunyai tempoh menyesuaikan kos mereka dan memperbaiki margin keuntungan yang lebih berkesan.

“Ini termasuk menyediakan kewangan perniagaan masing-masing sekiranya ada kenaikan kadar faedah lagi pada masa hadapan,” katanya kepada BH.

Ia selepas kenaikan OPR empat kali berturut-turut sejak tahun lalu bermula Mei, Julai, September dan November lalu, dengan masing-masing meningkat sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus berbanding paras rekod terendah 1.75 peratus sebelumnya.

“Bagaimanapun, keputusan sama ada BNM akan menaikkan lagi atau menurunkan lagi OPR pada bulan Mac nanti adalah bergantung kepada situasi ekonomi semasa ketika itu.

“Ini kerana, ketidaktentuan hala tuju ekonomi dunia termasuklah kebimbangan kemelesetan bakal berlaku tahun 2023 ini.

“Justeru, ia akan memberi kesan langsung kepada ekonomi negara dan ini antara faktor yang kritikal dan mempengaruhi keputusan BNM kelak,” katanya.

Hong Leong Investment Bank (HLIB) dalam nota penyelidikannya berkata, keputusan MPC untuk mengekalkan OPR pada pusingan ini akan membolehkan mereka untuk menilai kesan kenaikan kadar yang lalu ke atas ekonomi.

“Mereka juga menyebut bahawa normalisasi pada masa hadapan akan bergantung kepada perkembangan keadaan dan implikasinya kepada inflasi dan pertumbuhan.

“Memandangkan tekanan inflasi yang masih tinggi yang mungkin diburukkan lagi oleh kesan pembukaan semula China ke atas harga komoditi, serta mana-mana kemungkinan rancangan rasionalisasi subsidi baharu yang mungkin dilaksanakan pada tahun ini, kami berpendapat BNM mungkin menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas lagi seawal Mei 2023 sekiranya risiko menaik terhadap inflasi menjadi kenyataan.

“Dengan ini, kami menyemak semula sasaran OPR kami kepada 3.0 peratus untuk tahun ini berbanding 3.25 peratus sebelumnya,” kata HLIB dalam nota yang ditulis bersama penganalisisnya, , Felicia Ling dan Nurul Athira Salith.

Kenanga Research pula percaya bahawa keputusan BNM adalah isyarat untuk menghentikan kitaran normalisasi semasa yang bermula pada Mei tahun lalu.

“Ini mengambil petunjuk daripada kenyataan MPC bahawa ‘langkah seterusnya untuk mengembalikan tahap akomodasi dasar monetari ke tahap yang wajar akan ditentukan oleh keadaan yang berubah-ubah dan kesannya terhadap prospek inflasi dan pertumbuhan dalam negeri.

“MPC akan terus menetapkan dasar monetari yang mengimbangi risiko inflasi dalam negeri dan pertumbuhan yang mampan,” katanya.

Firma penyelidikan itu menambah, kali terakhir BNM berhenti seketika semasa kitaran pengetatan adalah pada 2010 selepas ia menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas pada Julai, yang kemudian hanya meneruskan kenaikan sebanyak 25 mata asas lagi pada Mei 2011.

“Oleh itu, jika bukan disebabkan kejutan yang tidak dijangka atau peralihan dasar utama, kami menjangkakan OPR kekal tidak berubah pada 2.75 peratus untuk sepanjang tahun ini,” katanya. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close