Duniaku TeknokratPilihan Editor

PETRONAS Kembali Raih Untung RM48.6 Bilion Tahun Lalu

PETRONAS kembali meraih keuntungan bersih sebanyak RM48.6 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 berbanding kerugian bersih RM21 bilion tahun sebelumnya.

Prestasi syarikat minyak dan gas nasional itu disokong pemulihan harga komoditi disebabkan peningkatan kembali permintaan dalam sektor tenaga serta pembukaan ekonomi apabila lebih banyak penduduk dunia mendapat vaksinasi penuh.

Keuntungan bersih keseluruhan tahun kewangan 2021 itu juga adalah yang tertinggi dalam tempoh tiga tahun.

PETRONAS mengekalkan pembayaran dividen kepada kerajaan sebanyak RM25 bilion seperti yang sudah diumumkan tahun lalu.

Pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan turut naik kepada RM100.5 bilion, disumbangkan oleh pendapatan yang lebih tinggi. Aliran Tunai daripada Aktiviti Operasi (CFFO) berada pada RM78.6 bilion.

Perbelanjaan modal kumpulan berjumlah RM30.5 bilion, kebanyakan untuk projek huluan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Tengku Muhammad Taufik berkata, prestasi PETRONAS bagi 2021 itu dicapai dengan pengukuhan portfolio utama kumpulan serta kekal berdaya saing sepanjang dua tahun ini biarpun berdepan cabaran dalam pemulihan pasaran dan ekosistem tenaga.

Beliau berkata, permintaan global untuk komoditi dan tenaga meningkat dengan pantas melebihi jangkaan dan PETRONAS akan terus memanfaatkan peluang baharu untuk mengekalkan pencapaian ini termasuk pertumbuhan keuntungan sebagai syarikat minyak dan gas nasional negara.

“Selari dengan pengenalan entiti baharu pada pertengahan 2022 dan penubuhan Unit Pengurusan Karbon kami, ia akan mengembangkan PETRONAS menjadi ‘superstore’ tenaga yang menyediakan pelanggan penyelesaian perniagaan terbaik dengan tenaga bersesuaian dan memenuhi kemajuan bahan api.

“Tahun 2022 dijangka akan menjadi tahun yang bermakna untuk PETRONAS melangkah ke hadapan bagi mencapai sasaran ditetapkan, terutama menjadi rakan kongsi penyelesaian dan tenaga terbaik.

“Menerusi strategi pertumbuhan serampang tiga mata dan Net Zero Carbon Emissions 2050, Petronas komited untuk terus memastikan tenaga dapat dihasilkan dan disediakan secara mampan,” katanya.

Bagi unjuran tahun ini, PETRONAS menjangkakan akan terus beroperasi dalam persekitaran yang mencabar terutama menerusi ketidaktentuan pasaran dan peningkatan risiko geopolitikal.

Kumpulan akan memfokus melaksanakan pelan pertumbuhannya dan meningkatkan usaha selain kekal komited mencapai kecemerlangan operasi dan komersial tahun ini dan tahun seterusnya.

PETRONAS juga komited mempromosi Malaysia sebagai destinasi pelaburan bertaraf dunia dan memberi fokus kepada kestabilan serta pemerkasaan operasi perniagaan.

PETRONAS mengumumkan pemberian dividen sebanyak RM25 bilion untuk kerajaan Malaysia bagi tahun 2021, berbanding RM34 bilion pada tahun 2020. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close