MalaysiaPilihan Editor

MERDEKA66: Agong, Permaisuri Mesra Rakyat Malaysia, Berpanas Demi Rakyat Jelata

Oleh wartawan BacalahMalaysia.my

Cakna bersama rakyat !

Santuni bersama rakyat !

Semuanya kerana rakyat !

Mesra bersama rakyat !

Itulah sifat mesra rakyat, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini menyantuni rakyat pelbagai kaum yang hadir pada sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Putrajaya.

Baginda berdua dalam aksi spontan, luar daripada kebiasaan dan protokol, meluangkan masa kira-kira sejam beramah mesra, bersalaman dan mengambil swafoto dengan peserta perarakan dan pengunjung.

Pasangan diraja itu juga dilihat berpimpin tangan dan menyanyikan lagu Jalur Gemilang yang dimainkan di lokasi sambutan itu, ketika berjalan di pekarangan dataran.

Al-Sultan Abdullah turut dilihat mendukung seorang kanak-kanak lelaki dan Tunku Azizah pula memberi isyarat ‘mini love‘, ‘flying kiss‘ dan melambai kepada khalayak ramai.

Bagi seorang pelajar universiti, Muhammad Firdaus Redzuan, 21, pengalaman bersalaman dan beramah mesra dengan Seri Paduka berdua menjadikan sambutan tahun ini lebih bermakna dan meriah berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Suri rumah Norazli Hasan, 45, yang datang bersama suami dan tiga anak pula berkata impiannya untuk berjumpa secara bersemuka dengan Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong akhirnya tertunai hari ini selepas lebih 12 tahun menunggu peluang berkenaan.

“Memang berhasrat untuk berjumpa dengan baginda berdua tetapi tidak pernah ada peluang. Hari ini akhirnya tertunai juga impian apabila Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong bersalaman dengan kami anak-beranak,” katanya yang menghadiri acara sambutan itu setiap tahun sejak 2010.

Bagi penjawat awam, Bazli Shah Osman, 38, dia tidak menyangka Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah akan menyapa pengunjung kerana kebiasaannya baginda berdua mengikut protokol majlis iaitu berangkat pulang sejurus majlis selesai.

“Inilah keperibadian baginda berdua yang mudah berinteraksi dengan rakyat. Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong sempat berbual ringkas dan bertanyakan nama anak saya sambil menghulurkan gula-gula,” kata bapa kepada tiga cahaya mata dari Kuala Kangsar, Perak itu. – BACALAHMALAYSIA.MY/BERNAMA

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close