Duniaku Teknokrat

Pharmaniaga Lantik Zulkarnain Sebagai Pengarah Urusan

Pharmaniaga Berhad (Pharmaniaga) melantik Datuk Zulkarnain Md Eusope sebagai Pengarah Urusan syarikat yang baharu berkuat kuasa 1 September ini.

Pharmaniaga dalam kenyataan hari ini berkata, Zulkarnain mempunyai pengalaman lebih 27 tahun dalam pelbagai bidang seperti kejuruteraan, perancangan korporat, pengumpulan dana, penggabungan dan pengambilalihan.

Katanya Zulkarnain memulakan kerjayanya pada 1991 sebagai jurutera elektrik dengan Tenaga Nasional Bhd sebelum menyertai EPE Power Corporation Bhd sebagai pengurus projek.

“Pada 2001, Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB) melantik Zulkarnain sebagai penyelaras projek khusus dalam projek berkaitan kejuruteraan dan menerajui unit pembangunan perniagaan antarabangsa untuk rantau Timur Tengah/Afrika Selatan (MESA) dan Asia Selatan,” katanya.

Pada 2006, Zulkarnain menyertai syarikat tenaga antarabangsa, Empire Energy Corp dan berkhidmat sebagai Naib Presiden Kanan untuk memberi tumpuan kepada penstrukturan semula projek loji jana kuasa yang bermasalah di Asia Tenggara.

“Tugas beliau ialah membangunkan loji jana kuasa berasaskan arang batu di Indonesia dan menerajui usaha strategik untuk mengambil alih syarikat Indonesia.

“Pada 2010, Zulkarnain menjadi penasihat komersial dan korporat untuk pelbagai syarikat, menyediakan pembangunan perniagaan yang strategik dan khidmat nasihat,” katanya.

Pharmaniaga berkata, Zulkarnain kemudian menyertai FELCRA Bhd pada 2014 sebagai Ketua Pegawai Pelaburan, menjadi Ketua Pegawai Eksekutif dua tahun kemudiannya sebelum meninggalkan syarikat itu pada Oktober 2018.

Zulkarnain kini ahli Lembaga Pengarah Daya Materials Bhd dan Institute of Plantation Management.

“Beliau seorang profesional yang mempunyai rangkaian yang baik dengan pelbagai kementerian di Malaysia dan juga pensyarah di Universiti Malaysia Kelantan,” katanya.

Pharmaniaga turut mengumumkan pelantikan Ketua Pegawai Operasinya (COO) Mohamed Iqbal Abdul Rahman sebagai Timbalan Pengarah Urusan berkuat kuasa 1 September.

Mohamed Iqbal menyertai Pharmaniaga pada 2011 sebagai Pengarah Teknologi Maklumat sebelum dilantik sebagai COO pada 2012.

“Sebagai COO, beliau bertanggungjawab untuk keseluruhan operasi syarikat.

“Dengan pengalaman selama lebih 32 tahun, terutamanya dalam peningkatan sistem dan pengurusan operasi, beliau berjaya menerajui pelaksanaan sistem risikan perniagaan dan automasi proses robotik, yang membawa kepada peningkatan yang ketara kepada operasi logistik syarikat,” katanya. – BERNAMA

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button
Close