MalaysiaPilihan Editor

Ratu Elizabeth II Mahu Raihan Lonjak Nama Malaysia Ke Luar Negara

Pemergian pemerintah monarki Britain yang paling lama bertakhta dan tertua di dunia, Ratu Elizabeth II tentunya mengusik hati kumpulan nasyid kontemporari legenda, Raihan yang mempunyai momen manis bersama wanita hebat yang berkuasa di Britain selama 70 tahun itu.

Ketika itu, Raihan dianggotai Nazrey Johani selaku penyanyi utama, Allahyarham Azahari Ahmad, Abu Bakar Mohd Yatim, Che Amran Idris dan Amran Ibrahim pernah diundang mengadakan persembahan sempena Sidang Kemuncak Komanwel 1997 di Edinburgh, Scotland yang dihadiri Ratu Elizabeth II dan Putera Charles.

Seterusnya, Raihan turut diundang mengadakan persembahan sempena acara penutup Sukan Komanwel di Bukit Jalil pada 1998.

Paling menarik, kumpulan yang menjadi pelopor nasyid kontemporari air itu menerima kunjungan Ratu Elizabeth II di Studio Synchrosound, Petaling Jaya sebelum Sukan Komanwel berlangsung pada 1998.

“Saya masih ingat, kami dimaklumkan oleh Wisma Putra bahawa baginda ingin bertemu dengan Raihan pada awal pembabitan dalam bidang seni.

“Saya diberitahu Istana Buckingham meminta Wisma Putra untuk mengaturkan pertemuan baginda dengan Raihan.

“Kami dipertemukan dalam satu acara yang diadakan di Synchrosund Studio, Petaling Jaya. Ketika itu, Raihan mahu merakamkan semula lagu Syukur dan baginda diberi penghormatan untuk menekan butang tanda rakaman bermula sebagai simbolik,” katanya kepada BH Online.

 

Raihan yang kini dianggotai Che Am, Abu Bakar dan Amran masih meneruskan perjuangan dalam dunia nasyid kontemporari. - Foto NSTP
Raihan yang kini dianggotai Che Am, Abu Bakar dan Amran masih meneruskan perjuangan dalam dunia nasyid kontemporari. – Foto NSTP

 

Berkongsi momen yang cukup bermakna buat kumpulan yang popular dengan lagu Puji-Pujian itu, Che Am berkata, dia dimaklumkan hasrat Ratu Elizabeth II bertemu dengan Raihan untuk menunjukkan apresiasi terhadap irama nasyid.

“Beliau banyak bertanyakan mengenai lagu nasyid dan menzahirkan rasa kagum terhadap konsep muzik berbentuk ‘acapella’ dan banyak menggunakan alatan muzik perkusi.

“Paling meninggalkan kesan apabila beliau menyatakan irama nasyid sangat penting buat bangsa Melayu bagi membantu menaikkan nama Malaysia ke peringkat global.

“Kami anggap ungkapan beliau sebagai satu sokongan, pembakar semangat dan motivasi untuk kumpulan nasyid seperti Raihan untuk terus memperjuangkan irama ini,” ujarnya.

Terdahulu, Ratu Elizabeth II mangkat pada usia 96 tahun selepas dilaporkan menghidap ‘episodic mobility problems’, sejak hujung tahun lalu.

Beliau mangkat dalam keadaan tenang di Istana Balmoral, Scotland, tengah hari semalam (waktu tempatan) selepas 70 tahun bertakhta. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close