Malayan Banking Bhd (Maybank) sekali lagi tersenarai antara 500 jenama paling berharga di dunia dengan meraih kedudukan baharu di tangga ke-472.
Dalam sektor perbankan khususnya, Maybank berada di tangga ke-74 pada peringkat global, dan merupakan satu daripada dua jenama Malaysia yang tersenarai dan merupakan satu-satunya institusi kewangan yang menjadi sebahagian daripada senarai berprestij ini, katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan, Datuk Khairussaleh Ramli juga menyumbang kepada pencapaian terbaik bank itu dengan menduduki tangga ke-85 dalam senarai 100 Penjaga Jenama Terbaik Brand Finance.
Kejayaan itu menjadikan beliau satu-satunya CEO Malaysia yang menjadi sebahagian daripada senarai itu.
Di samping itu, dari segi kewangan, bank itu turut dianugerahkan Bank Terbaik Pertukaran Mata Wang Asing (Malaysia).
Pencapaian kumpulan perbankan itu diumumkan pada Anugerah Kewangan Mampan Global Finance yang mengiktiraf institusi kewangan yang cemerlang dalam menyokong pelbagai rangkaian inisiatif penting untuk masa depan yang mampan, sambil menunjukkan kreativiti dalam menangani cabaran jangka panjang. -BERNAMA