Ekonomi Islam & GlobalGovernansPilihan Editor

Lawatan Kerja PM Ke Itali: Malaysia Raih Potensi Pelaburan RM8.13 Bilion

Malaysia meraih potensi pelaburan berjumlah RM8.13 bilion dalam beberapa sektor termasuk petrokimia, jentera dan peralatan, hasil lawatan kerja Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Itali, yang berakhir hari ini.

Potensi pelaburan itu turut berjaya diraih melalui sektor elektrik dan elektronik (E&E) serta perkhidmatan dan peralatan minyak serta gas.

Mesyuarat dua hala itu membabitkan 41 syarikat dari Itali dengan 23 daripadanya membabitkan syarikat sektor pembuatan, sembilan perkhidmatan, dua perdagangan, lima agensi kerajaan dan dua pertubuhan industri.

Beliau memberitahu demikian pada sidang media bersama wartawan Malaysia ketika mengakhiri lawatan kerja ke Itali, hari ini. Audio sidang media itu turut dikongsikan dengan media tempatan di Kuala Lumpur.

Turut serta dalam lawatan itu ialah Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; serta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Lawatan itu yang berakhir hari ini adalah bagi memenuhi undangan Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni.

Pada masa sama, Anwar berkata, kerjasama antara PERODUA dengan syarikat Itali, Magna Styer, membabitkan bateri kenderaan elektrik (EV) juga dijangka dimeterai selewat-lewatnya Disember depan, sekali gus menunjukkan kecenderungan syarikat daripada republik itu yang yakin dengan syarikat negara ini.

Selain itu, katanya, kolaborasi dan pelaburan grid elektrik antara Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan beberapa syarikat termasuk APG, dengan tumpuan jana kuasa dari Vietnam ke negara ini melalui Kelantan, Terengganu, Pahang, Selangor dan Johor ke Singapura yang mencapai maksud kerjasama ASEAN.

“Seperti dijelaskan di Parlimen oleh Menteri Pertahanan, antara kerjasama kukuh kita dengan Itali adalah dengan keputusan kita untuk membeli dua pesawat Leonardo bagi kegunaan rondaan maritim oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

“Begitu juga 28 helikopter Leonardo AW149, selain perbincangan terperinci Menteri Pertahanan dan rakan sejawat ditekankan soal latihan pemindahan teknologi dan pemusatan kegiatan latihan serta penerbangan awal di Lapangan Terbang Batu Berendam,” katanya.

Perdana Menteri berkata, selain itu, dalam perbincangan awal bersama Timbalan Perdana Menteri Itali menyentuh soal pelaburan, perdagangan dan kerjasama antara EU dan ASEAN, selain soal Gaza dan Iran.

Katanya, dalam pertemuan itu, Malaysia menegaskan pendirian untuk menjamin keadilan berhubung keganasan Israel ke atas Gaza dan pencerobohan terhadap Iran.

“Pemusatan perbincangan kita adalah kedamaian yang boleh menjamin keselamatan rantau. Dalam pertemuan kemuncak dengan Meloni, tentulah kita menegaskan beberapa projek yang sedang dalam perbincangan, umpamanya projek besar antara PETRONAS dengan ENI.

“Kita tegaskan juga kepada Perdana Menteri Itali, pandangan mengenai Gaza dan mengucapkan terima kasih atas persetujuan mereka dalam kenyataan meminta hentikan serangan ke atas Gaza serta beri laluan bantuan kemanusiaan,” katanya. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close