Al fatihah dan takziah !
Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub ini disifatkan sebagai tokoh pendamai.
Arwahnya sentiasa tenang, rendah diri dan bijak berhujah.
Sentiasa tersenyum dan mudah diajak berunding, malah sentiasa mendamaikan terhadap pihak yang bertelingkah.
Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengimamkan solat jenazah Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub di Masjid Jamek Dato’ Haji Noh Gadot di sini, pada jam 11 pagi tadi.
Ia turut disertai ahli politik, saudara-mara, rakan taulan dan masyarakat setempat.
Yang turut hadir memberi penghormatan terakhir buat Allahyarham adalah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pertanian dan Kerterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu; Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir serta Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.
Hadir sama, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani; barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor.
Lebih 1,000 orang ramai hadir ke masjid bagi memberi penghormatan terakhir buat Allahyarham.
Jenazah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup itu dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Jalan Sulong Serkat, Tanjung Piai di sini, sebelum Zohor. – BACALAHMALAYSIA.MY/BH ONLINE/BERNAMA