MalaysiaPilihan Editor

Azam Baki: Bukti Sikap Telus Dan Keterbukaan – Penganalisis, NGO

Oleh wartawan BacalahMalaysia.my

Tindakan Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Tan Sri Azam Baki yang memberikan penjelasan mengenai isu urusniaga saham semalam membuktikan sifat integriti yang tinggi sebagai seorang penjawat awam.

Pentadbir universiti dan penganalisis isu semasa, Noor Mohamad Shakil Hameed berkata, semua pihak harus menerima penjelasan beliau dengan terbuka dan tidak perlu membangkitkan isu kebertanggungjawaban Ketua Pesuruhjaya dalam hal ini.

“Selaku pemimpin tertinggi sebuah agensi antirasuah negara, kita perlu menghargai kesanggupan beliau untuk menjelaskan isu ini kepada media dan rakyat secara amnya.

“Sebagai seorang penjawat awam, kita harus faham beliau menjawab kepada Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) yang bertindak selaku badan pemantau bebas SPRM yang mana ahli-ahlinya dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Justeru, tindakan beliau menjawab dan memberi penjelasan kepada LPPR adalah mengikut saluran yang betul dan kita sepatutnya percaya serta tidak harus mempertikaikannya,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Semalam, Azam Baki dalam satu sidang media khasnya menafikan sekeras-kerasnya terhadap tuduhan beliau mempunyai kawalan ke atas banyak syarikat termasuk syarikat konglomerat seperti didakwa dan tular, sejak akhir-akhir ini.

Beliau menganggap ia satu penipuan besar pihak tertentu untuk memberi persepsi negatif yang direka cipta untuk menjatuhkan reputasinya dan SPRM.

Mengulas lanjut, Noor Mohamad Shakil berkata, meskipun pelbagai tohmahan dan tuduhan dilemparkan kepada Azam dan SPRM, beliau tidak harus gentar untuk terus menjalankan tugas yang diamanahkan dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai negara bebas rasuah.

“SPRM adalah satu agensi yang sangat penting untuk membanteras gejala rasuah dan Suruhanjaya ini perlu meneruskan agenda ini tanpa rasa tertekan walaupun menerima pelbagai tekanan daripada mana-mana pihak.

“Ketegasan SPRM dalam menjalankan siasatan dan tangkapan terhadap pesalah rasuah tidak kira latar belakang politik menyebabkan timbul rasa tidak senang dikalangan sesetengah pihak dan tidak dinafikan pihak-pihak terbabit cuba mewujudkan persepsi negatif kepada SPRM.

“Kenapa isu mengenai saham ini tidak dibangkitkan pada 2015 dan kenapa baru sekarang. Ini jelas menunjukkan ada agenda daripada pihak tertentu yang sengaja mahu mengalihkan perhatian rakyat kepada kes siasatan yang sedang SPRM jalankan,” katanya.

Sementara itu, Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) Jais Abdul Karim berkata, langkah Azam membuat penjelasan adalah satu tindakan yang tepat dan selaku penjawat Awam yang mempunyai tanggungjawab besar dalam Suruhanjaya ini, beliau sudah melaksanakan tugas yang cukup baik.

“Perkara ini sepatutnya tidak perlu ditimbulkan kerana pelbagai persepsi akan berlaku tetapi apabila digembar-gemburkan dan ada unsur ‘pembunuhan politik’ yang sedang berlaku, sesi penjelasan ini terpaksa diadakan.

“Bagaimanapun, apabila kita melaksanakan tugas dengan baik tentu ada ranjau dan duri yang perlu ditempuhi dan berharap pihak SPRM terus bersedia berdepan dengan serangan yang lebih besar selepas ini,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Dato Nadzim Johan berkata, pihaknya berpuas hati dengan penjelasan diberikan Azam sekali gus membuktikan bahawa Ketua Pesuruhjaya SPRM itu tidak mempunyai isu yang ingin disembunyikan.

Katanya, biarpun masih ada pihak yang tidak berpuas hati dengan penjelasan diberikan KP SPRM itu, namun dia berharap agar agenda membasmi rasuah dapat berjalan seperti biasa.

“Alhamdulillah, semalam beliau telah memberikan penjelasan berhubung pemilikan saham atas namanya dalam sidang media yang diadakan bersama Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR).

“Bagi saya itu sudah mencukupi kerana isu ini bukanlah terlalu kompleks (rumit) kerana apa yang kita mahukan adalah penjelasan darinya dan beliau sudah pun berbuat demikian kepada LPPR sebagaimana dituntut oleh banyak pihak,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, biarpun perkara itu sudah dijelaskan Azam, memang akan sentiasa ada pihak yang tidak berpuas hati dengan apa juga penjelasan yang dibuat.

Katanya, perkara ini biasa terjadi kepada Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan (NGO) apatah lagi kepada SPRM sebagai sebuah agensi yang menyiasat pelbagai penyelewengan dan salah guna kuasa.

“Memang dalam kita tegas terhadap sesuatu perkara, akan wujud pihak yang sentiasa tidak akan berpuas hati dengan kita.

“Apabila kita berdiam diri pun mereka akan mempertikai. Bila memberi penjelasan pun akan tetap mempertikaikannya.

“Tetapi dari sini kita boleh nampak niat sebenar pihak-pihak berkenaan yang sudah pasti sebenarnya bukan ingin mendengar penjelasan tetapi mempunyai agenda lain,” katanya. – BACALAHMALAYSIA.MY

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close