GovernansMalaysiaPilihan Editor

PM Lancar PEMERKASA

Tan Sri Muhyiddin Yassin petang ini mengumumkan pelaksanaan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) bernilai RM20 bilion bagi mengurangkan beban rakyat serta memacu pertumbuhan ekonomi negara.

Perdana Menteri ketika mengumumkan pakej baharu itu menjelaskan, ia membabitkan suntikan fiskal baharu kerajaan berjumlah RM11 bilion.

PEMERKASA akan menetapkan lima fokus utama iaitu mengawal penularan COVID-19, memacu pemulihan ekonomi, memperkukuh daya saing negara, memastikan agenda keterangkuman wilayah dan masyarakat serta mentransformasi ekonomi.

Menerusi PEMERKASA, 20 inisiatif baharu dan sedia ada akan dilaksana menyentuh pelbagai bidang serta usaha bagi mengawal COVID-19, selain memperluas penerima manfaat khususnya kepada kumpulan B40, wanita, belia serta orang kelainan upaya (OKU).

Beberapa inisiatif yang sebelum ini diumumkan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) tahun lalu juga ditambah baik dengan pemberian peruntukan tambahan bagi pelaksanaan selepas ini.

Antaranya, Geran Khas Prihatin (GKP) 3.0 diperluas untuk satu juta lagi usahawan, lanjutan Program Subsidi Upah (PSU), bantuan kepada kontraktor G1 hingga G4 ditingkatkan serta pemberian tunai sekali bayar kepada kumpulan sasar yang kehilangan kerja daripada kelompok B40 serta penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR).

Turut diumumkan menerusi PEMERKASA, penambahan peruntukan bagi Program Imunisasi COVID-19 untuk mempercepatkan sasaran imunisasi berkelompok pada Disember ini.

Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) juga ditambah baik dengan fokus kini khusus untuk lokaliti lebih kecil serta kluster tertentu, bukan lagi di seluruh negara dan negeri seperti dilaksana sebelum ini.

Turut diumumkan dalam inisiatif PEMERKASA kali ini adalah bantuan kepada sektor paling terjejas khususnya pelancongan dengan pengenalan bantuan baru bertujuan merangsang aktiviti pelancongan.

Bagi memastikan isu kos sara hidup rakyat, penerusan subsidi juga dilaksana terhadap petrol serta produk gas cecair petroleum atau LPG. – BERITA HARIAN

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close