Syarikat perladangan sawit di Malaysia perlu memerhatikan dengan rapat beberapa isu global tahun ini termasuk perkembangan keadaan cuaca, demikian menurut Maybank Investment Bank Research (Maybank IB).
Bank pelaburan itu berkata, memandangkan fenomena El Nino sekarang hanya dijangka berakhir pada awal 2024, masih terdapat banyak ketidakpastian yang mengelilingi unjuran pengeluaran biji minyak yang direkodkan pada 2023/2024.
“Jika keadaan cuaca buruk berterusan di Brazil dalam tempoh dua bulan akan datang, ia boleh menyebabkan harga kacang soya lebih tinggi, yang sepatutnya secara tidak langsung akan memberi manfaat kepada harga minyak sawit mentah (MSM) juga,” katanya dalam satu nota penyelidikan, hari ini.
Maybank IB berkata, pihaknya mengekalkan unjuran harga jualan purata MSM (ASP) RM3,700 satu tan untuk 2024, iaitu di bawah RM3,830 satu tan pada 2023.
“Dari segi arah aliran harga, MSM dijangka bermula dengan baik pada suku pertama 2024 berikutan kitaran keluaran rendah bermusim dan arah aliran lebih rendah menjelang pertengahan 2024 dengan menjangkakan pengeluaran lebih baik secara bermusim dalam separuh kedua 2024,” katanya.
Kesan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) yang tinggi, peperangan di Rusia-Ukraine dan Israel-Hamas, dan kesihatan kewangan banyak negara menimbulkan ketidaktentuan bagi permintaan global, katanya.
“Permintaan yang lebih lemah daripada jangkaan akan membawa kepada simpanan stok yang lebih tinggi daripada jangkaan, sekali gus mengheret turun harga MSM,” katanya.
Ia menambah, kerajaan juga sedang menjalankan kajian menyeluruh mengenai cukai dalam sektor minyak sawit dan berharap dapat menyiapkan kajian itu pada tahun ini.
Katanya, antara lain syarikat perladangan meminta semakan semula levi keuntungan durian runtuh sektor perladangan.
“Pada masa ini, levi sebanyak 3.0 peratus dikenakan (bagi setiap tan tandan buah segar) ke atas harga MSM melebihi ambang RM3,000 satu tan di Semenanjung Malaysia dan melebihi ambang RM3,500 satu tan di Malaysia Timur,” katanya.
Bank pelaburan itu memberikan saranan neutral untuk saham syarikat-syarikat yang terbabit sektor perladangan pada 2024, dengan peluang dagangan pada suku pertama.
Ia berkata bahawa pendapatan syarikat perladangan Malaysia pada tahun ini mungkin akan lebih baik berbanding tahun lalu disebabkan kos unit yang lebih kecil, perbelanjaan baja yang lebih rendah dan produktiviti yang lebih tinggi. – BH ONLINE