MalaysiaPilihan Editor

Program Pendidikan Pra Perkahwinan & Kemahiran Keibubapaan Dirangka Semula Bagi Manfaat Platform Digital – Pengerusi LPPKN

Oleh wartawan BacalahMalaysia.my

“Program pendidikan pra perkahwinan dan kemahiran keibubapaan akan dirangka semula bagi memanfaatkan platform digital agar lebih relevan kepada isu dan cabaran semasa,” kata Pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Datuk Mohd Nizar Zakaria.

Sebagai membudayakan norma baharu,  menurut beliau, LPPKN telah menjalankan program Pembangunan Keluarga seperti Keluarga@Kerja, SMARTbelanja@LPPKN dan IlmuKeluarga@LPPKN secara dalam talian mulai akhir tahun 2020.

Pada masa sama, Mohd Nizar berkata, bagi mengurangkan masalah kesihatan mental dan tekanan kalangan ahli Keluarga, perluasan perkhidmatan kaunseling perkahwinan dan kekeluargaan menggunakan kaedah e-kaunseling dan tele kaunseling turut diperkenalkan.

“Talian khas kaunseling iaitu Toll Free Helpline Family Care 1-800-82-0300 telah mula digerakkan pada pertengahan September 2021,” katanya dalam satu kenyataan.

Di samping itu, LPPKN menyambut baik agenda Keluarga dalam pembentangan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) oleh YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob Isnin lalu.

LPPKN, agensi di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) komited untuk memantapkan institusi keluarga dan perkahwinan di Malaysia dalam membentuk keluarga yang sejahtera.

“Pengumuman YAB PM terhadap penubuhan Pusat Kecemerlangan Subfertiliti LPPKN, dilihat sebagai perkara yang melegakan bagi pasangan yang sukar mendapat zuriat kerana mereka akan terus dibantu dengan perkhidmatan subfertiliti berkualiti pada kos yang kurang membebankan.

“Pasangan juga bakal mendapat akses kepada perkhidmatan kesejahteraan keluarga yang lebih menyeluruh meliputi penjagaan selepas bersalin, kaunseling keluarga dan kemahiran keibubapaan menerusi pusat ini kelak,” ujar Mohd Nizar.

Beliau juga memaklumkan bahawa perkhidmatan kaunseling remaja turut dijalankan secara hybrid dan aplikasi interaktif myKafeTEEN dan berjaya menarik sejumlah 1,837 orang klien remaja sepanjang pandemik COVID-19.

“Saya yakin kolaberasi strategik seluruh agensi KPWKM termasuk LPPKN bersama-sama Badan Bukan Kerajaan (NGO) akan terus diperkukuhkan secara tuntas bagi menyokong kesejahteraan Keluarga Malaysia seperti disarankan oleh YAB PM,” kata Mohd Nizar. – BACALAHMALAYSIA.MY

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close