MalaysiaPilihan Editor

BANJIR: Kesyukuran Dalam Musibah, Pelajar Selamat Kerana Cuti, Asrama Tahfiz As Sofa Musnah

Oleh wartawan BacalahMalaysia.my

Rasa kesyukuran yang amat tinggi !

Dipanjatkan kepada Allah SWT !

Segala-galanya ketentuan-NYA !

Kerana masih melindungi anak-anak tahfiz yang pulang bercuti sewaktu berlaku banjir besar di Hulu Langat, Sabtu lalu (18 Disember 2021).

Itulah luahan syukur Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Yayasan Sofa, Ustaz Abdullah Abdol Razak yang bergegas ke Maahad Tahfiz Al-Quran dan Qiraat As Sofa di Batu 15, Hulu Langat.

Selain rumah penduduk yang terkesan akibat banjir, Maahad Tahfiz Al-Quran dan Qiraat As Sofa  mengalami kerosakan teruk apabila dinaiki air hampir  2 meter dalam kejadian bah besar itu.

Lebih menyedihkan bangunan asrama pelajar lelaki yang terletak bersebelahan Sungai Lui dilanda banjir deras hingga  musnah sama sekali.

Namun, dalam kesedihan warga As Sofa melihat kemusnahan kawasan Maahad itu, rasa kesyukuran yang amat tinggi dipanjatkan kepada Allah SWT kerana masih melindungi anak-anak tahfiz kita.

Ketika kejadian, tiada sesiapa di situ kerana semua pulang bercuti.

Tidak dapat dibayangkan bagaimana sekiranya pada hari itu pelajar berada di asrama kerana hujan lebat sepanjang hari dan tiba-tiba arus banjir deras datang melanda.

Abdullah bersama Skuad Sofa Prihatin yang bergegas ke maahad berkenaan pada  Isnin, tergamam melihat keadaan persekitaran maahad yang sebelum ini indah dan tenang bertukar bagaikan padang lumpur,  banyak pokok tumbang dan segala peralatan asrama, pakaian dan buku pelajar berselerakan.

“Sebak hingga hampir menitiskan air mata saya melihat keadaan Maahad tahfiz yang rosak teruk.

“Nasib baik ketika kejadian semua pelajar balik. Takut saya hendak membayangkan seandainya anak-anak tahfiz ada di situ.

“Dalam kesedihan, kita masih boleh mengucapkan syukur dan Alhamdulillah.

“Benda yang rosak boleh kita ganti. Asrama yang musnah kita akan bangunkan semula, tetapi seandainya ada kecederaan dan kehilangan nyawa, tiada apa yang dapat menggantikan mereka. Allah masih melindungi mereka,” kata Abdullah.

Beliau berkata, asrama pelajar perempuan dan bangunan pentadbiran serta kelas yang terletak tidak jauh daripada asrama lelaki turut mengalami kerosakan teruk.

Semua buku dan peralatan pelajar habis musnah dan segala barangan dalam pejabat pentadbiran tidak boleh diguna lagi kerana habis disaluti lumpur.

Pihak pengurusan akan mencarikan penempatan sementara untuk pelajar lelaki memandangkan sesi persekolahan akan bermula awal tahun depan.

Apatah lagi pelajar di situ akan mengambil peperiksaan SPM, Mac depan. Maahad berkenaan menempatkan 35 pelajar lelaki dan 35 pelajar perempuan.

Sehubungan itu, Yayasan Sofa melancarkan Tabung Kilat – Rayuan Bantuan Banjir Yayasan Sofa untuk membangunkan semula asrama pelajar lelaki, membaik pulih peralatan yang rosak dan menyediakan keperluan pelajar terutama buku.

Abdullah menyeru rakyat Malaysia tampil menghulurkan sumbangan membantu meringankan bebanan mangsa banjir serta membangunkan semula Maahad Tahfiz As Sofa Hulu Langat.

“Saya percaya inilah masanya kita bersatu untuk membina dan mengembalikan semula penginapan pelajar yang roboh itu. Malah saya yakin, kita akan bina yang lebih baik dan kukuh daripada bangunan sebelum ini,” ujar beliau.

Sumbangan boleh disalurkan ke akaun CIMB Yayasan Sofa Negeri Sembilan 8600300235 atau terus menghubungi Pengurus Komunikasi Korporat Yayasan Sofa, Minarni Mat Saad (016-2863539). – BACALAHMALAYSIA.MY

 

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close