Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah, Datuk Hajiji Noor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman, hari ini mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah yang baharu.
Beliau yang juga Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin, di Istana Negeri, di sini, jam 10.32 pagi.
Turut mengangkat sumpah Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah yang juga ADUN Lamag, Datuk Seri Bung Moktar Radin sebagai Timbalan Ketua Menteri.

Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) yang juga ADUN Tambunan, Datuk Dr Jeffry Kitingan, menyandang jawatan Timbalan Ketua Menteri II.
Naib Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) yang juga ADUN Kundasang, Datuk Dr Joachim Gunsalam pula sebagai Timbalan Ketua Menteri III.

Selain itu, Bung Moktar turut memegang portfolio Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah.
Jeffry juga dilantik menjadi Menteri Pertanian dan Industri Makanan, manakala Joachim sebagai Menteri Perdagangan dan Perindustrian Sabah.
Turut mengangkat sumpah ialah Timbalan Ketua BERSATU Sabah yang juga ADUN Karanaan, Datuk Seri Masidi Manjun, yang dilantik sebagai Menteri Kerja Raya Sabah.
Setiausaha Agung PBS yang juga ADUN Tamparuli, Datuk Jahid Jahim, pula memegang portfolio Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah.
Kedua-dua Masidi dan Jahid berstatus Menteri Kanan Kabinet Sabah.

Turut hadir pada majlis mengangkat sumpah ialah isteri Yang Dipertua Negeri Sabah, Toh Puan Norlidah R M Jasni; Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merangkap Naib Presiden UMNO; Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee yang juga Naib Presiden BERSATU dan Timbalan Presiden PBS, Datuk Seri Radin Malleh.
Terdahulu sebelum mengangkat sumpah semua pemimpin itu menerima watikah pelantikan masing-masing daripada Juhar.
Selepas mengangkat sumpah, pemimpin itu menandatangani watikah pelantikan disaksikan Hakim Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, Datuk Martin Idang, sebelum Mufti Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Bungsu @Aziz Jaafar, membacakan doa.
Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang dianggotai PN, BN dan PBS memperoleh majoriti mudah untuk mengambil alih tampuk kepimpinan kerajaan negeri daripada Parti Warisan Sabah (WARISAN) pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-16, Sabtu lalu apabila memperoleh 38 daripada keseluruhan 73 kerusi DUN negeri. – BERITA HARIAN