Inisiatif konsolidasi yang dirancang oleh Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) dalam meningkatkan pengeluaran getah domestik yang dijangka dapat mengurangkan kebergantungan kepada import bersih getah yang mencecah RM5.7 bilion tahun lalu dan RM6.5 bilion pada 2022.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata inisiatif menerusi pendekatan yang bersifat komersial itu mengenalpasti sejumlah 420,000 hektar tanaman getah terbiar untuk dimajukan semula menerusi kerjasama Lembaga Getah Malaysia (LGM), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA).
Kata, jika tanah terbiar diusahakan semula, ia boleh menjana 550,000 tan getah asli untuk kegunaan industri hiliran tempatan, sekali gus mengurangkan import lebih satu juta tan bagi menampung keperluan positif industri berkaitan di peringkat domestik.
“Sekitar 1970, kita adalah antara pengeksport getah utama dunia dengan memiliki sekitar 1.1 juta hektar tanah. Namun, peredaran masa menyaksikan kita kurang produktiviti sehinggakan pengeluaran yang sebelum ini mencecah 1.1 juta tan berkurangan kepada 374,000 tan sahaja.
“Justeru, kerajaan menggandakan usaha untuk mengenalpasti tanaman getah terbiar untuk diusahakan semula. Sasaran kita untuk mengurangkan 50 peratus jumlah import dalam 10 tahun akan datang,” katanya kepada media selepas merasmikan Hari Teknologi LGM di sini, hari ini.
Katanya, KPK akan bekerjasama dengan LGM untuk mencari kawasan kawasan getah terbiar dan menguruskan semula tanah berkenaan.
“Kita akam sediakan pekerja pekerja. Kalau tak ada pekerja tempatan, kita carilah pekerja asing Kita boleh mohon untuk susun semula.
“Jadi kita boleh mengeluarkan banyak lagi getah ini sehingga mencecah 800,000 ataupun satu juta,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan berdepan kekangan di mana pekebun kecil yang tidak lagi aktif tidak berminat menyerahkan tanah untuk diusahakan semula.
“Kerajaan berharap mereka dapat mempertimbangkan perkara ini dan memberi peluang kepada kita mengaktifkan semula taman getah terbiar,” katanya.
Sementara itu, dalam ucapan perasmian, Johari berkata, getah menjadi satu industri yang signifikan kepada negara sehingga meletakkan Malaysia sebagai pengeluar terbesar getah asli dunia sejak 1930 hingga 1990.
“Pencapaian ini disumbangkan oleh beberapa faktor termasuklah permintaan tinggi bagi getah, peranan pusat penyelidikan seperti Rubber Research Institute of Malaysia (RRIM) dan penggiat industri yang dapat memanfaatkan peluang yang ada di pasaran dunia.
“Jika kita lihat kepada prestasi industri getah sejak 10 tahun lalu, walaupun keluasan tanaman tidak banyak berubah, pengeluaran getah telah menurun sebanyak 55 peratus daripada 768,000 tan pada 2013 kepada 347,000 tan pada 2023. Daripada pengeluar getah terbesar pada 1990, Malaysia kini merupakan antara pengimport terbesar getah di dunia.
“Sekiranya kita tidak menangani isu bekalan, sudah tentu status negara sebagai pengeluar sarung tangan getah terbesar dunia dan antara pengeluar utama bagi produk lain akan terancam,” katanya. – BH ONLINE