Two Cents

Usahawan Perlu Cekal Hadapi Kesan COVID-19

Oleh Noorul Azwin Md Nasir

KEMUNCULAN COVID-19 menjadi risiko perniagaan tidak dijangka ramai usahawan. Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disusuli Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi membendung penularan pandemik itu, menyebabkan pemberhentian sementara beberapa sektor perniagaan.

Bagi pemilik perniagaan, antara objektif perlu dicapai dalam tempoh hibernisasi adalah memastikan status perniagaan dapat dikekalkan walaupun operasi perniagaan terganggu. Antara cabaran besar adalah keperluan membayar hutang pembekal dan sewa premis serta memenuhi tanggungjawab mengekalkan pekerja.

Perusahaan bersaiz mikro, kecil atau sederhana mempunyai cabaran tersendiri. Menurut SME Corp Malaysia, jenis perusahaan ini dapat dibezakan melalui jumlah jualan tahunan dan bilangan pekerja.
Adalah tidak wajar sekiranya pendekatan pukul rata dibuat terhadap perniagaan ini kerana tahap kesukaran bagi isu, masalah dan cabaran tidak sama.

Dalam prinsip perakaunan, menjadi kemestian untuk pemilik perniagaan membuat penilaian dan laporan kedudukan kewangan seolah-olah perniagaan akan diteruskan selama-lamanya.

Jika sebelum PKP, perancangan belanjawan dibuat, kini semua jenis perusahaan tanpa mengira kategori perlu membuat penilaian semula berkaitan kemampuan perniagaan meneruskan operasi.

Ini berikutan banyak perubahan dan ketidakpastian terpaksa dihadapi.

Dalam keadaan sesuatu perniagaan dihentikan sementara, aliran tunai masuk perniagaan tentu terhenti, namun tidak untuk aliran tunai keluar.

Masih banyak perbelanjaan perlu ditanggung usahawan.

Lanjutan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), kerajaan menyediakan pakej khas merangsang perniagaan iaitu Pakej PRIHATIN PKS.

Ia bertujuan membantu usahawan di samping mengekalkan pekerja. Bagi mendapatkan bantuan itu, usahawan perlu memenuhi kriteria iaitu sudah mendaftar perniagaan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan mendaftar perniagaan serta pekerja untuk caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Bagi usahawan pernah memohon bantuan kewangan agensi kewangan kerajaan sebelum PKP, mereka dibenarkan membuat penangguhan bayaran bulanan.

Bank dan institusi kewangan juga digalakkan menawarkan penangguhan bayaran sewa beli untuk pinjaman usahawan.

Dalam Pakej PRIHATIN PKS, kerajaan melonggarkan bayaran sewa tapak perniagaan di premis kerajaan.

Namun, bagi peniaga tidak mempunyai tapak perniagaan sendiri dan terpaksa menyewa di premis persendirian, budi bicara tuan premis menangguhkan bayaran amat diharapkan.

Ada juga situasi usahawan memilih tidak meminjam, sebaliknya menubuh dan mengembangkan perniagaan dengan modal sendiri.

Mereka masih terikat menanggung pelbagai belanja tetap bulanan serta hutang pembekal mengikut tarikh ditetapkan meskipun perniagaan tidak dapat berjalan dan tiada aliran tunai masuk.

Banyak perniagaan menambah stok awal tahun ini sebagai persediaan menghadapi musim perayaan.

Peningkatan pembelian stok bermaksud peningkatan jumlah hutang pembekal yang rata-rata memberi tempoh hutang sekitar satu hingga tiga bulan.

Bermakna tempoh akhir bayaran dibuat sekitar Januari hingga tempoh PKP bermula, adalah sekitar Mac hingga Jun ini.

Mungkin lebih menguntungkan usahawan berhutang dengan pembekal berbanding dengan bank atau agensi kewangan dalam mendapatkan modal pembelian stok.

Ini kerana dari perspektif kadar faedah, tiada faedah dikenakan ke atas kelewatan bayaran. Pembekal juga cenderung memberikan diskaun sekiranya bayaran dilangsaikan lebih awal.

Jika usahawan cuba memohon penangguhan bayaran daripada pembekal, masih ada harapan mereka memberikan kelonggaran. Persetujuan bersama untuk penangguhan bayaran pasti membuatkan usahawan lega.

Usahawan perusahaan mikro seharusnya tidak melepaskan peluang memohon Geran Khas PRIHATIN bernilai RM3,000.

Usahawan juga berdepan cabaran mengekalkan pekerja.

Mereka bergelut dengan rasa tanggungjawab untuk mengekalkan pekerja yang kemungkinan besar tidak dapat menampung kehidupan sekiranya perkhidmatan ditamatkan.

Antara tawaran kerajaan boleh diteliti usahawan untuk pekerja terkesan akibat COVID-19 ialah Sistem Insurans Pekerjaan, Program Pengekalan Pekerjaan dan Program Subsidi Upah.

Ia bertujuan membantu usahawan meneruskan perniagaan dan mengelakkan pekerja sedia ada hilang pekerjaan.

Walaupun sesetengah usahawan mendapat kelulusan bantuan dan penangguhan bayaran, mereka masih perlu mencari jalan menampung kekurangan pendapatan ataupun kerugian dengan kadar segera.

Sebahagiannya mula berkecimpung dalam bidang atau industri dibenarkan beroperasi dalam tempoh PKP dan PKPB. Ini bukanlah untuk tempoh panjang, tetapi untuk pulih lebih cepat berbanding pesaing.

Usahawan perlu cekal dan sentiasa berdoa agar kemelut akibat COVID-19 berakhir segera.

Ada kemungkinan kemudahan dan bantuan ditawarkan akan terus bertambah selepas ini. Justeru, usahawan harus bijak mengambil peluang mengatasi cabaran tanggungan kewangan lebih baik. – BERITA HARIAN ONLINE

  • Penulis adalah Pensyarah Kanan (Perakaunan dan Kewangan), Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan Universiti Malaysia Kelantan

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close