Pilihan EditorTwo Cents

PANDANGAN: Dilema Rombakan Kabinet Genapkan Kuota PKR Atau Jumlah Berkurang – Penganalisis

Oleh Dr Syed Arabi Idid

JIKA Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ingin merombak semula Kabinet, tempoh terdekat ini adalah masa sesuai dan menarik sebelum Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Apatah lagi, dua Menteri iaitu Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad meletak jawatan mereka dalam Kabinet, masing-masing berkuat kuasa hari ini dan 4 Julai ini.

Justeru, ia memerlukan tindakan susulan Perdana Menteri atas beberapa pilihan. Pilihan pertama bagi Perdana Menteri adalah untuk tidak melantik muka baharu dalam Kabinet, tetapi mengagihkan tugas kepada menteri sedia ada.

Pilihan kedua, melantik muka baharu untuk mengisikan dua jawatan kosong itu. Jika tindakan kedua diambil, mungkin akan ada perubahan portfolio menteri kerana pastinya akan ada pindaan jawatan dan personaliti.

Selepas hampir setahun, Anwar mengumumkan rombakan Kabinet menyaksikan beberapa perubahan signifikan. Jumlah Jemaah Menteri meningkat kepada 31 orang bagi 34 portfolio.

Jumlah timbalan menteri juga meningkat kepada 29 orang bagi 28 portfolio berbanding 27 timbalan menteri bagi 25 portfolio dalam Kabinet pertama Anwar.

Seorang menteri dan dua timbalan menteri digugurkan daripada senarai serta lima menteri baharu dilantik dengan tiga daripada mereka mempunyai pengalaman sebagai menteri sebelum ini.

Menteri dan timbalan menteri digugurkan ialah V Sivakumar (DAP); Ramkarpal Singh (DAP) dan Datuk Siti Aminah Aching (UMNO). Menteri baharu dilantik adalah Gobind Singh Deo (DAP); Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (AMANAH); Datuk Seri Johari Abdul Ghani (UMNO); Steven Sim Chee Keong (DAP) dan Datuk Seri Amir Hamzah Azizan (Senator).

Antara perubahan berlaku menerusi rombakan Kabinet ini adalah Kementerian Komunikasi dan Digital dipecahkan kepada Kementerian Komunikasi dan Kementerian Digital; Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim dijadikan dua kementerian, iaitu Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam serta Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam.

Jabatan Wilayah Persekutuan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) juga menyaksikan pelantikan menteri khusus. Selain itu, Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan dinamakan semula sebagai Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Pembahagian mengikut parti menyaksikan 16 menteri adalah daripada PH, tujuh menteri daripada BN, lima daripada GPS, seorang daripada GRS dan dua senator tanpa parti.

PKR mempunyai jumlah menteri paling ramai, iaitu lapan orang, UMNO (tujuh); DAP (lima), PBB (tiga), AMANAH (dua), GRS (satu), PDP (satu), PRS (satu), UPKO (satu) dan dua senator tanpa parti.

Dengan peletakan jawatan Rafizi dan Nik Nazmi, jumlah ahli Kabinet daripada PKR berkurang menjadi enam kerusi. Jika jawatan menteri ini tidak diisi ahli PKR juga, maka UMNO menjadi parti mempunyai menteri paling ramai, iaitu tujuh orang.

Ini akan memberi satu gambaran kurang baik bagi ahli dan penyokong PKR. Jumlah ahli Kabinet adalah gambaran kekuatan PKR dalam kerajaan. Bagi penyokong PKR, parti ini mendahului parti lain dalam Kabinet dengan Anwar memegang jawatan Perdana Menteri.

Maka, sudah tentu Anwar akan terdesak untuk mengisi jawatan menteri dalam Kabinet ini supaya jumlah menteri PKR akan kekal satu jumlah memberangsangkan bagi ahli.

Kemungkinan gabung kementerian

Tentu pula Anwar akan memilih portfolio kanan atau mempunyai impak tinggi. Berkemungkinan Anwar akan menggabungkan Kementerian Ekonomi serta Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri dalam satu mandat dan meletakkan ia bawah tanggungjawab seorang menteri sahaja.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri sekarang diterajui Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Aziz.

Secara perlembagaan, beliau tidak boleh lagi menjadi menteri selepas tamat tempoh lantikan sebagai senator, Disember ini.

Jika ini berlaku, UMNO/BN mungkin akan berkecil hati kerana jumlah kerusi dari parti itu dalam Kabinet berkurang dan akan mendesak satu jawatan menteri itu diisi orang mereka.

Apapun keputusan diambil Perdana Menteri kelak, satu perkara yang kerajaan perlu pertimbangkan adalah pandangan orang ramai terhadap prestasi Kabinet dibentuk.

Sekiranya satu rombakan Kabinet perlu diadakan pada tahun ini, ia harus menjadi satu barisan Jemaah Menteri yang cekap dan berkaliber bagi memastikan apabila mereka menemui pengundi pada PRU16 nanti, ia adalah daripada satu Kabinet berprestasi tinggi.

Anwar harus memberikan tumpuan untuk memimpin supaya ahli Kabinet ikut serta membantu beliau menunaikan tanggungjawab mereka.

Jika pengundi berpuas hati dengan prestasi Kabinet ini, secara tidak langsung ia akan meningkatkan lagi jumlah pengundi untuk menyokong Kerajaan MADANI.

Oleh itu adalah diandaikan, jika satu perubahan Kabinet dilakukan dan hala tuju baik diberikan, berkemungkinan besar prestasi Kabinet kali ini akan lebih meningkat. Perkara ini signifikan kerana ini mungkin rombakan terakhir sebelum PRU16. – BH ONLINE

  • Penulis adalah Pensyarah Jabatan Komunikasi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close