Malaysia masih berdepan dua cabaran besar guna tenaga iaitu kualiti pekerjaan dan kualiti ganjaran kepada pekerja meskipun kadar pengangguran kini sudah menurun ke paras 3.5 peratus, demikian kata pakar ekonomi.
Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia, UKM (MINDA- UKM), Prof Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali, berkata dengan kadar pengangguran 3.5 peratus, Malaysia boleh dianggap mencapai tahap guna tenaga penuh, satu petanda pemulihan ekonomi makro, kembali ke status ekonomi pra-pandemik.
Namun, beliau berkata, negara masih berhadapan dengan dua cabaran besar guna tenaga iaitu kualiti pekerjaan dan kualiti ganjaran kepada pekerja, yang mana ia bukan permasalahan baharu dan sudah dikenal pasti sebelum pandemik lagi.
Katanya, dari 16.2 juta orang yang berkerja, hampir 1.9 juta pekerja dianggap ‘underemployed by skill’, iaitu pekerja yang mempunyai kelulusan tertiari tetapi bekerja dalam pekerjaan yang tidak setanding dengan kelulusan mereka.
“Trend yang semakin membarah ini mesti ditangani segera. Satu kerugian kepada negara dan pekerja apabila pencapaian pendidikan tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya,” katanya di laman Facebook pada Sabtu.
Beliau berkata, untuk menjadi negara maju, Malaysia perlukan pekerja mahir yang lebih ramai.
Katanya, gaji dan upah kepada pekerja adalah antara ukuran pendapatan yang penting bagi menilai manfaat kepada pekerja.
Jelasnya, kesejahteraan kehidupan dan keupayaan untuk berhadapan dengan peningkatan kos sara hidup amat bergantung kepada pendapatan.
“Hanya 37.2 peratus pendapatan negara sampai ke poket pekerja. Selebihnya kepada majikan atau pemilik modal.
“Berbanding negara maju seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom (UK), pekerja memperoleh 55 peratus dan 53.4 peratus dari pendapatan negara,” katanya.
Noor Azlan berkata, trend upah di negara ini juga membimbangkan, secara umumnya malar, ia meningkat tetapi dengan kadar yang perlahan.
Beliau berkata, pada 2010 kadar upah penengah pekerja ialah RM1,500, namun kini ia RM2,250.
Malah, katanya, kemalaran kadar upah lebih nyata bagi pekerja separa mahir dan tidak berkemahiran.
“Komitmen Menteri Ekonomi (Rafizi Ramli) untuk meningkatkan pendapatan rakyat Malaysia adalah usaha yang tepat dan kita alu-alukan. Fahami apa yang mengekang kenaikan gaji dan upah. Letak sasaran, bentuk strategi yang berkesan, laksanakan dan laporkan pencapaian.
“Pekerja adalah pemangkin Malaysia Madani. Apakah ertinya Malaysia Madani ini kepada pekerja? Kesejahteraan, Hormat dan Ihsan adalah antara enam rukun Malaysia Madani. Angkat martabat pekerja, dengan peningkatan pekerjaan dan ganjaran bekerja yang berkualiti. Ini Madani buat pekerja,” katanya. – BH ONLINE