Pilihan EditorTwo Cents

SATU PANDANGAN: Pengguna Perlu Main Peranan Elak Manipulasi Harga Ayam

Penarikan subsidi ayam seperti diumumkan kerajaan bermula 1 November lalu mendapat pelbagai reaksi daripada masyarakat. Hampir kebanyakan pengguna melahirkan kebimbangan sekiranya harga bahan mentah itu meningkat pada masa depan dan tiada pula mekanisme utuh untuk mengekang kenaikan harga itu.

Namun, kerajaan memberi jaminan pengapungan harga ayam tidak akan menjejaskan harganya dan ia berkemungkinan kekal sekitar RM9.40 atau pada paras harga siling seperti ditetapkan sebelum ini.

Justeru, apakah pemberat sebenar kerajaan memansuhkan subsidi ayam ketika ekonomi negara dilaporkan masih dalam proses mengukuh dan memulih?

Pengarah Program MBA Putra Business School (PBS), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, berkata keputusan kerajaan menarik subsidi ayam berpandukan kepada beberapa faktor, terutama selepas menerima maklum balas daripada pengeluar dan penternak ayam.

Jika dilihat kepada statistik Dasar Agromakanan Negara 2.0 (2021-2030), Tahap Sara Diri (SSL) pada 2019 bagi daging ayam atau itik ialah 104.1 peratus, manakala telur untuk kedua-dua haiwan berkenaan adalah 119.1 peratus, iaitu melebihi keperluan domestik.

Bagaimanapun, telur ayam belum mencapai SSL ditetapkan menyebabkan kerajaan mengambil keputusan mengekalkan subsidi telur ayam.

Dalam hal ini, Ahmed Razman menjelaskan peningkatan harga ‘tidak masuk akal’ ayam kebanyakan disebabkan kos makanan, iaitu gandum dan jagung. Kedua-dua sumber makanan itu majoritinya dibeli dari luar negara menyebabkan kos makanan itu sentiasa meningkat disebabkan mata wang negara pula lemah.

Atas sebab itu, beliau mencadangkan kerajaan memikirkan alternatif makanan ayam boleh dihasilkan pada peringkat domestik supaya harganya lebih kompetitif.

Penghasilan makanan ayam pada peringkat domestik katanya boleh dipacu dengan penggunaan teknologi terkini dan penyelidikan dari universiti tempatan untuk menghasilkan makanan mempunyai tahap khasiat sama dengan produk diimport, dijual dengan harga kompetitif serta dapat dihasilkan dengan kuantiti banyak.

Sementara itu, kerajaan juga perlu memainkan peranan untuk meningkatkan pembabitan masyarakat, terutama belia untuk menjadi usahawan tani menceburi bidang ternakan ayam kerana industri ini mampu memberi pulangan pendapatan tinggi.

KPDN perlu proaktif buat pemantauan

Namun, isu yang paling dibimbangkan ialah kemungkinan kenaikan harga ayam secara melampau. Rekod penjualan ayam sebelum ini menunjukkan harganya mudah meningkat, terutama pada musim perayaan.

Soal kenaikan harga ayam mungkin begitu klise, justeru penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), perlu proaktif memantau dan mengambil tindakan jika berlaku pencatutan.

Pengapungan harga ayam turut dibimbangi berlaku manipulasi harga pada peringkat pengeluar, pemborong dan peruncit. Dalam hal ini, Bendahari Agung Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Nur Asyikin Aminuddin berkata rakyat perlu memainkan peranan menjadi mata-mata kepada kerajaan jika melihat terdapat peniaga cuba mengambil kesempatan terhadap pengapungan harga bahan makanan itu.

Bermakna, tugas memantau harga ayam ini bukan hanya terletak kepada bahu kerajaan semata-mata, ia juga perlu mendapat sokongan rak- yat. Sekiranya rakyat tidak bekerjasama, sudah tentu segala usaha dilakukan ini hanya sia-sia.

Pada zaman serba canggih ini, pengguna kini mempunyai banyak pilihan untuk mendapatkan bahan makanan itu. Sekiranya pengguna menggunakan hak mereka, peniaga akan terkesan dan rugi dengan tindakan menaikkan harga ayam berkenaan. Sementara itu, penguatkuasaan pula seharusnya dilakukan terhadap pembekal dan pemborong kerana peniaga turut menjadi mangsa kepada kerakusan pembekal meletakkan harga tinggi.

Inilah sebabnya peniaga tidak mempunyai pilihan lain dan terpaksa ‘meletakkan beban’ sama di bahu pembeli. Disebabkan itu, pemantauan perlu dilakukan pada semua peringkat rantaian bekalan ayam berkenaan supaya tiada pihak berani mengambil kesempatan.

Dalam soal manipulasi harga ayam ini, peniaga patut membuat laporan sama seperti dilakukan pembeli kerana sebagai pengguna kadang-kadang kita tidak mengetahui kenaikan harga ayam itu sebenarnya berpunca daripada pembekal, ini disebabkan pengguna berada paling akhir di rantaian berkenaan. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close