MalaysiaPilihan Editor

Banjir Johor: Maybank, CIMB, Agrobank Beri Moratorium 6 Bulan

Maybank, CIMB dan Agrobank bersetuju untuk memberikan moratorium pinjaman selama enam bulan kepada mangsa banjir di Johor, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pada masa sama, Perdana Menteri memaklumkan kerajaan sudah menghubungi beberapa bank lain bagi meminta mereka untuk turut mengikut langkah tiga bank berkenaan bagi meluluskan moratorium kepada mangsa banjir di negeri itu.

“Tentang moratorium, untuk memudahkan mangsa banjir, ada cadangan daripada kerajaan Johor supaya memberikan moratorium kepada peminjam supaya dapat melengahkan bayaran kerana keadaan yang terdesak.

“Setakat ini, Maybank dan CIMB telah bersetuju untuk memberi moratorium selama enam bulan.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (PN-Arau) yang bertanya mengapa kerajaan masih tidak melaksanakan darurat banjir di Johor sedangkan situasi semakin buruk berikutan jumlah mangsa banjir yang berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) terus meningkat mencecah 44,860 orang setakat Ahad lalu.

“Darurat ini dikenakan kalau kaedah biasa tidak boleh dijalankan. Sekarang ini keadaan biasa boleh dijalankan, oleh itu darurat tidak perlu.

“Umpamanya di kawasan Felda yang terputus lalu lintas, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah segera membina jambatan bailey,” katanya.

Beliau turut memuji persiapan rapi jentera persekutuan, negeri dan daerah di Johor yang dilaksanakan sebelum banjir berlaku, membolehkan banyak nyawa diselamatkan dan bantuan kebajikan disalurkan dengan pantas.

Berhubung peruntukan kepada mangsa banjir, Anwar memaklumkan Kerajaan Perpaduan masih meneruskan pakej bantuan kepada mangsa banjir yang diumumkan kerajaan terdahulu.

“Kita salurkan kepada mangsa bantuan wang ehsan RM1,000 setiap ketua isi rumah, bantuan wang ehsan kematian RM10,000, bantuan barangan keperluan asas RM2,500 bagi setiap keluarga dan bantuan pembaikan rumah bawah RM5,000. Ini kita teruskan, bukan kecil (jumlah peruntukan),” katanya.

Mengulas mengenai projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB), Anwar menjelaskan tindakannya membatalkan projek RTB yang diluluskan pentadbiran lalu bukan bermotif politik atau enggan projek berkenaan dilaksanakan.

“Saya batalkan kerana kos itu tinggi dan melalui rundingan terus, tetapi projek itu mesti diteruskan. Dalam Belanjawan 2023 saya telah umumkan. Projek ini termasuk RTB di Johor dan Sungai Golok, Kelantan, dan kita minta disegerakan.

“Projek RTB itu mendesak, tetapi kaedahnya jangan rundingan terus kerana kos meningkat. Jadi kita guna proses tender terhad, tapi percepatkan proses, itu saja. Bila guna tender terhad, kos itu terus menurun.

“Sekarang dengan menggunakan kaedah baharu tender, saya teruskan dalam keadaan segera. Bukan batalkan projek RTB, batalkan rundingan terus,” katanya. – BH ONLINE

 

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close