Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) mencatatkan pencapaian cemerlang tahun ini apabila merekodkan dividen dan bayaran balik pinjaman tertinggi dalam tempoh 15 tahun berjumlah RM10 juta kepada kerajaan negeri.
Pengurus Besar Kumpulan SEDCO, Datuk James Wong Kein Peng berkata, kejayaan itu hasil pelbagai inisiatif penstrukturan semula dan pembangunan strategik yang digerakkan sejak beliau menerajui organisasi berkenaan kira-kira lapan bulan lalu.
Kita berbangga kerana SEDCO bukan sahaja mencapai sejarah baharu dalam pemberian dividen dan bayaran balik pinjaman kepada kerajaan negeri, tetapi juga berjaya menukar budaya kerja kepada lebih berprestasi dan produktif,” katanya dalam wawancara khas bersama Media Prima mengenai kejayaan serta hala tuju pembangunan SEDCO, di Wisma SEDCO, di sini, baru-baru ini.
Wong berkata usaha itu seiring objektif utama SEDCO sebagai badan berkanun negeri yang berperanan menjana ekonomi dan memperkukuh daya saing industri tempatan.
Menurunya, beberapa langkah utama dilaksanakan termasuk memperkenalkan sistem pengurusan berasaskan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dan mewujudkan Unit Pengurusan Projek dan Perolehan (PMPU) bagi memastikan setiap pelaburan dan perbelanjaan dijalankan secara telus dan berkesan.
Selain itu, katanya, SEDCO turut memberi tumpuan kepada program pembangunan keusahawanan Bumiputera secara menyeluruh dengan matlamat melahirkan usahawan berdaya saing yang mampu menjana pendapatan sehingga RM5 juta setahun.
“Kami mahu membina usahawan Bumiputera yang bukan hanya kekal di peringkat kecil, tetapi mampu berkembang, menembusi pasaran antarabangsa dan menjadi pemimpin ekonomi negeri,” katanya sambil menjelaskan program berkenaan sedang dibentang kepada kerajaan negeri dan agensi berkaitan untuk kelulusan dana serta geran sokongan.
Wong berkata, SEDCO turut menubuhkan ‘Innovation Taskforce’ atau pasukan petugas khas inovasi bagi memberi pendedahan kepada generasi muda dalam kepimpinan serta bidang perniagaan baharu seperti agroteknologi, pelancongan, logistik dan tenaga.
Katanya, inisiatif itu dilihat mampu menyemai budaya inovasi dan prestasi tinggi dalam kalangan kakitangan muda, sekali gus memastikan kesinambungan kepimpinan organisasi.
Beliau berkata, antara projek berimpak tinggi yang sedang diterajui adalah pelancaran Taman Perindustrian Ekonomi Biru Kudat seluas 1,200 ekar, yang kini dalam proses penyediaan pelan induk bersama agensi dan pemain industri utama.
Dalam masa sama, SEDCO katanya, turut melaksanakan pelan pemulihan terhadap beberapa projek terbengkalai seperti di Asia City dan Lahad Datu, serta mengkaji semula perjanjian usaha sama yang tidak seimbang bagi memastikan aset-aset strategik negeri dapat dioptimumkan.
“Kami mahu SEDCO menjadi pemangkin utama pembangunan Sabah dengan memanfaatkan kelebihan sedia ada dalam sektor pembinaan, perindustrian dan pelancongan.
Visi saya ialah menjadikan SEDCO sebagai peneraju utama pembangunan ekonomi negeri, bukan sekadar entiti pemegang aset,” katanya.
Wong berkata, antara kelebihan besar SEDCO ialah memiliki ekosistem lengkap dalam sektor pembinaan antaranya industri simen, keluli, dan perlombongan pasir yang membolehkannya bersaing di peringkat nasional.
Katanya, keupayaan itu menjadi asas kepada cadangan penubuhan ‘SEDCO Build’ iaitu sebuah cabang pembangunan dan pembinaan negeri yang berpotensi menjana hasil besar melalui penyertaan dalam projek-projek infrastruktur berskala besar.
Dalam tempoh enam hingga lapan bulan pertama pentadbirannya, Wong berkata fokus utama beliau ialah menstabilkan operasi, membuka peluang perniagaan baharu serta memperkukuh kerjasama dengan sektor swasta dan kerajaan bagi mempercepat pertumbuhan ekonomi negeri.
“Saya percaya pembangunan ekonomi Sabah bukan hanya bergantung pada pelaburan asing, tetapi juga pada keupayaan kita membangunkan usahawan dan industri tempatan,
“Dengan potensi besar yang ada dalam SEDCO, saya yakin kita mampu membuka lembaran baharu dalam memacu ekonomi negeri ke tahap yang lebih tinggi,” katanya. – BH ONLINE




