GovernansMalaysia

PARLIMEN: Jualan Diesel Harian Di Sempadan Menurun 40-50 Peratus, Bukti Rasionalisasi Subsidi Berkesan – MOF

Pengurangan ketara sekitar 40 hingga 50 peratus jualan purata harian diesel di stesen minyak di kawasan sempadan dilihat petanda awal keberkesanan penyasaran semula subsidi bahan api itu, khususnya bagi membanteras kegiatan penyeludupan.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata peratusan itu mewakili jualan harian selepas kerajaan melaksanakan rasionalisasi subsidi bermula 10 Jun lalu.

“Tanda awal menunjukkan pendekatan penyasaran semula subsidi ini berkesan dalam mengurangkan ketirisan.

“Jika dibandingkan jualan runcit diesel sebelum penyasaran semula subsidi dan selepasnya, setakat ini, jualan purata harian di stesen minyak Semenanjung Malaysia menurun lebih 30 peratus dan stesen di kawasan sempadan mengalami pengurangan yang lebih ketara di antara 40 peratus hingga 50 peratus. Indikator ini jelas pengurangan penyeludupan,” katanya.

Mengulas lanjut, Amir Hamzah berkata, penetapan harga runcit ke paras harga pasaran tanpa subsidi mencapai hasil yang diharapkan, dengan pengurangan aktiviti penyeludupan.

Katanya, usaha membanteras kegiatan terbabit dijangka tidak berhasil jika kerajaan melaksanakan kenaikan harga runcit secara ansuran kecil, mengambil kira jurang perbezaan harga yang kecil.

Ketika menjawab soalan tambahan Abdul Khalib, beliau berkata setakat kelmarin, kelulusan bantuan tunai BUDI MADANI diberikan kepada 115,000 pemilik kenderaan diesel, manakala baki jumlah pemilik kenderaan diesel persendirian yang layak bagi permohonan BUDI MADANI individu adalah sekitar 300,000 orang.

Sementara itu, beliau turut menjawab soalan tambahan Manndzri Nasib (BN-Tenggara) yang ingin tahu sama ada kerajaan berhasrat mempertimbangkan bantuan BUDI MADANI kepada peneroka FELDA yang tidak memiliki kenderaan sendiri.

Dalam jawapannya, Amir Hamzah berkata, bagi peneroka yang layak, mereka masih boleh membuat permohonan secara individu.

“Kerajaan sentiasa peka kepada isu membabitkan peneroka FELDA. Bagi penyasaran subsidi diesel untuk peneroka, mereka dijaga FELDA dan mendapat pendapatan tetap (daripada FELDA).

“Namun, bagi mereka yang layak, masih boleh memohon BUDI MADANI, selain itu bagi yang ada kenderaan juga boleh memohon Skim Kenderaan Diesel Bersubsidi (SKDS),” katanya. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close