GovernansMalaysiaPilihan Editor

Syarikat Malaysia Sedar Kepentingan ESG – Pengarah Ekonomi JPM

Kebanyakan syarikat Malaysia menyedari bahawa prestasi dalam pelaksanaan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) adalah penting untuk mendapatkan akses pembiayaan antarabangsa.

Pengarah Ekonomi Jabatan Perdana Menteri, Shahril Sufian Hamdan, berkata berdasarkan kaji selidik bersama Google dan Impax terhadap tingkah laku pelabur ke arah Persidangan Iklim Paris 2015 (COP21), 70 peratus daripada responden bimbang dengan perubahan iklim, manakala 33.5 peratus mendakwa mendedikasikan pelaburan ke arah syarikat ESG.

“Kita melihat kebanyakan syarikat tempatan sedar betapa pentingnya ESG untumpelbagai aspek termasuk mendapatkan pembiayaan antarabangsa sama ada pinjaman, pelaburan, insurand atau produk lain,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada sesi perkongsian Pengerusi ke-4 Malaysia Debt Ventures Bhd (MDV) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi MDV, Khairul Azwan Harun; dan Ketua Pegawai Eksekutif MDV, Nizam Mohamed Nadzri.

“Agenda ESG jauh lebih daripada sekadar aspirasi dan masa depan. Kita mesti bertindak hari ini. Kos mengabaikan ESG terlalu besar untuk diketepikan. Adalah penting untuk kita bercakap tentang ESG dari segi kewajipan moral.

“Skandal perubahan iklim, tuntutan gangguan seksual, persaingan tidak adil dan ketidakpatuhan peraturan hanyalah beberapa kes ESG yang memberi kesan buruk kepada penilaian korporat,” katanya.

Beliau berkata, Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Lestari (SDSN) telah meletakkan Malaysia pada kedudukan 65 daripada 193 pada Indeks SDG 2021, turun daripada 60 pada 2020 dan berada di bawah Thailand (43) dan Vietnam (51), tetapi mendahului Singapura (76), Brunei (84) dan Indonesia (97).

“Di sebalik masalah langsung kehilangan reputasi dan kepentingan tinggi dalam peralihan tempahan pengeluaran keluar dari Malaysia ke negara jiran kita, kejahilan terhadap ESG akan menjejaskan kemampanan dan potensi pertumbuhan perniagaan kerana akses terhad kepada modal,” katanya. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close