Dimensi BisnesPilihan Editor

BACALAH AUTO: Kehadiran Tesla Lonjak Semula Daya Tarikan Cyberjaya

Cyberjaya dijangka mendapat daya tarikan baharu dengan cadangan pembukaan ibu pejabat Tesla di bandar pintar itu, demikian menurut penganalisis.

Ketua Ahli Ekonomi Juwai IQI, Shan Saeed, berkata langkah Tesla itu juga secara tidak langsung dijangka mampu menarik kehadiran syarikat teknologi dan kenderaan elektrik (EV) untuk beroperasi di Cyberjaya dan kawasan sekitarnya.

Beliau berkata, kehadiran Tesla juga bakal menjana peluang pekerjaan baharu dan memacu momentum pertumbuhan ekonomi secara makro.

Katanya, ia adalah langkah besar dalam pasaran EV global dan pada pendapatnya, kerajaan berhak menerima semua pujian dalam menjayakan rundingan dengan syarikat EV gergasi itu.

“Tempat seperti Cyberjaya akan menemui tarikan baharu dengan kemunculan Tesla di negara ini. Kawasan bersebelahan Cyberjaya akan menyaksikan kehadiran syarikat teknologi dan EV di lokasi pejabat,” katanya kepada BH.

Perdana Menteri berkata, pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tesla, Elon Musk pada pertemuan secara maya menzahirkan persetujuan menubuhkan ibu pejabat Tesla di Cyberjaya.

Tesla turut menyatakan akan membuka pusat servis dan pusat pengalaman di Selangor tahun ini.

Shan berkata, sebahagian besar jualan EV setakat ini tertumpu terutama di tiga pasaran iaitu China, Eropah dan Amerika Syarikat (AS).

Beliau berkata, Tesla terus menguasai jualan EV, iaitu 62 peratus daripada jumlah industri pada 2022 dengan permodalan pasaran AS$881.7 bilion.

Katanya, ia akan membawa masuk pelaburan, teknologi, penciptaan pekerjaan dan momentum dalam ekonomi secara makro.

“Ia mengukuhkan pendirian kami di Juwai IQI bahawa tenaga kerja Malaysia masih dianggap produktif dan cekap dalam menarik peserta besar ke negara ini.

“Syarikat besar yang berpindah ke Malaysia adalah bukti jelas bahawa kestabilan makroekonomi penting untuk menarik pelaburan langsung asing (FDI).

“Tesla telah membuat langkah strategik untuk berpindah ke Malaysia kerana negara ini adalah pintu masuk ke China. Tiada siapa yang mahu kehilangan peluang pasaran China,” katanya.

Shan berkata, pihaknya menjangkakan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia kekal utuh dengan unjuran pihaknya 4.5 hingga 5.5 peratus pada 2023.

Bagi 2024, pihaknya menjangkakan KDNK Malaysia berlegar antara 5.5 hingga 6.5 peratus.

Sementara itu, Ketua Ekonomi dan Analisis Pasaran dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata sememangnya jika rancangan itu dijayakan, ia bakal merancakkan kegiatan ekonomi di kawasan persekitaran terutamanya di Cyberjaya.

Beliau berkata, ia termasuk keperluan untuk mempunyai kemudahan pengeluaran, buruh mahir dan bahan mentah.

Katanya, sudah pasti ia memerlukan suatu bentuk rantaian perniagaan seperti kemudahan logistik, telekomunikasi, premis perkilangan serta kediaman.

“Limpahan ekonomi sudah akan merancakkan pelbagai sektor seperti hartanah, peruncitan, dan juga pelancongan,” katanya. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close