Pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendakwa bahawa Harimau Selatan mengukuhkan nilai komersial industri bola sepak Malaysia.
Ia berdasarkan nama besar dan beberapa kejayaan yang dimiliki Harimau Selatan, sekali gus turut memberi kesan kepada nilai komersial liga tempatan.
Tunku Ismail menerusi satu komen di laman Instagram rasmi kelab, officialjohor semalam, menjelaskan bahawa perkara itu adalah fakta yang sebenar.
“Tiada JDT tiada liga, tiada duit untuk hak penyiaran buat pasukan, tiada penuhkan stadium pasukan lain, tiada fasiliti terbaik buat pasukan kebangsaan, tiada kelab Malaysia di Liga Juara-Juara Asia dan tiada berita”.
Komen itu dibuat Tunku Ismail selepas laman Instagram rasmi JDT berkongsi artikel yang menyatakan bahawa perlawanan membabitkan Harimau Selatan mengungguli rating tontonan di semua platform Astro.
Jadi, berkemungkinan bahawa nama dan nilai komersial yang dimiliki JDT menjadi daya penarik kepada penyokong pasukan lain untuk ke stadium apabila pasukan mereka berdepan Harimau Selatan. – BH ONLINE