Pilihan EditorTurun Naik

SELAMAT HARI POS SEDUNIA 2021: Industri Pos – Dulu, Kini dan Selamanya

SEJARAH perkhidmatan pos di Malaysia bermula seawal tahun 1800 iaitu sejak pemerintahan British. Menyusuri masa, perkhidmatan pos berkembang dan menyaksikan penubuhan serta kebangkitan firma pos negara iaitu Pos Malaysia.

Ini bermakna, sudah lebih 200 tahun industri pos berkembang pesat di negara ini.

Perkhidmatan pos diperluaskan ke seluruh Tanah Melayu pada awal abad ke-20 dengan penghantaran surat melalui ‘dispatch riders’ serta bayaran dikenakan terhadap surat yang diserahkan di pejabat pos, menggantikan setem.

Kini, Pos Malaysia berkembang dengan kepelbagaian perkhidmatan melalui anak syarikatnya seperti POS Logistics (cabang logistik), POS ACE (kargo udara) (dinamakan semula World Cargo Airlines pada Ogos 2020) serta POS Aviation (pengendalian darat dan kargo; katering inflight; penyelenggaraan pesawat dan pe khidmatan kejuruteraan).

Perkembangan teknologi ini membolehkan Pos Malaysia meletakkan syarikat dan negara, dalam pasaran global sekali gus bersaing dengan pesaing antarabangsa, terutamanya dalam segmen penyelesaian yang pantas.

 

 

 

 

Pos Malaysia telah mendefinisikan semula misinya daripada hanya menghantar mel dan bungkusan kepada menjadi pusat e-dagang pada masa depan, bagi memenuhi keperluan pelanggan yang berubah-ubah, berikutan pertumbuhan e-dagang di peringkat global.

Hari Pos Sedunia

Setiap tahun pada tanggal 9 Oktober, komuniti pos dunia akan meraikan Hari Pos Sedunia untuk mewujudkan kesedaran mengenai peranan sektor pos dalam kehidupan seharian masyarakat dan perniagaan, serta kesannya yang luar biasa terhadap pembangunan sosial dan ekonomi negara.

Hari Pos Sedunia juga menanda – kan ulang tahun penubuhan Kesatuan Pos Sedunia (UPU).

Kesatuan ini bertujuan untuk mewujudkan dan mengekalkan struktur aliran bebas mel antarabangsa di seluruh dunia yang berperanan penting kepada komunikasi serta perdagangan global, khususnya, memberi perkhidmatan kepada komuniti yang rendah tahap akses digital.

Pada 1958, pentadbiran pos Malaysia telah menyertai UPU yang ditubuhkan pada 1874 untuk menyelaras sistem komunikasi pos dalam kalangan anggota negara terbabit. Keahlian UPU kini 192 negara anggota.

Malaysia yang juga ahli Majlis Operasi Pos (POC) adalah peserta aktif dalam Kongres UPU, selain mesyuarat Majlis Eksekutifnya.

Tahun ini, lebih istimewa apabila Malaysia berjaya mempertahankan kerusi Majlis Pentadbiran (CA) UPU bagi penggal 2022-2025 yang sebelum ini, dipegang bagi penggal 2016-2021. Malaysia juga memenangi kerusi Majlis Operasi Pos (POC) pada Kongres UPU ke-27 yang telah diadakan di Abidjan, Cote D’Ivore pada Ogos 2021.

 

 

Kejayaan Malaysia mempertahankan kerusi CA dan memenangi kerusi POC mencerminkan kepercayaan dan pengiktirafan 192 negara anggota terhadap kepimpinan Malaysia dalam UPU iaitu badan khusus untuk menjamin sistem pos yang benar-benar universal dan akan memberi manfaat kepada masyarakat global.

Malaysia juga adalah ahli Kesatuan Pos Asia Pasifik (APPU) sejak 1976. APPU adalah badan kerajaan yang bertanggungjawab di atas kerjasama antara pentadbiran pos dan pemain industri di seluruh dunia.

Antara objektifnya adalah untuk memperluas dan meningkatkan hubungan pos antara negara anggota serta menggalakkan kerjasama dalam bidang perkhidmatan pos.

APPU menyokong kepentingan ahli berpendapatan rendah dan kecil melalui perwakilan di mesyuarat Kesatuan Pos Sedunia.

Kerajaan Malaysia komited untuk menggalakkan akses lebih besar kepada perkhidmatan pos untuk penduduknya dengan mewujudkan rangka kerja dasar pengawalseliaan dan pembangunan pos yang kondusif.

Matlamatnya adalah untuk menjadikan Malaysia terhubung baik di antara kawasan bandar dan luar bandar serta meningkatkan produktiviti dan kualiti hidup rakyat.

Pembangunan rangkaian perkhidmatan pos dan kurier yang moden serta inklusif adalah perlu bagi menghasilkan kualiti p khidmatan yang cemerlang dan inovatif oleh pemain industri.

Pandemik COVID-19 telah menyebabkan penurunan ketara dalam jumlah penghantaran surat tetapi mempercepatkan pertumbuhan bungkusan e-dagang, berikutan peningkatan jumlah rakyat yang membeli-belah dalam talian.

Ini menyebabkan peningkatan mendadak syarikat penghantaran capaian akhir (last -mile delivery). Demi mitigasi situasi ini, perubahan dalam bentuk transformasi industri adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan.

Pemain industri pos dan kurier mesti memperbaharui model perniagaan masing-masing dan mencari cara menjadi sebahagian rakan kongsi perniagaan perdagangan digital kepada pengguna dan rakan dagang selain menjadi pendaya perdagangan digital.

 

 

 

 

Antara fokus industri adalah meningkatkan interoperability, melaksanakan penjejakan rentas sempadan, dan perkhidmatan pemulangan yang telus.

Dalam pasaran kompetitif, penyedia perkhidmatan pos dan kurier diharapkan dapat memenuhi permintaan pengguna serta perniagaan dengan memberikan perkhidmatan pengendalian dan pengiriman bungkusan yang terbaik dan mampu menjamin kepuasan pelanggan.

Inovasi seperti Pick-up Drop-off point, penting untuk diperkenalkan secara meluas untuk pengalaman pelanggan yang lebih baik.

Industri ini juga sedang mempertimbangkan untuk memperkenalkan kenderaan roda tiga elektrik (3W) untuk pengiriman bungkusan, dan ini diharapkan dapat meningkatkan kapasiti sebanyak 15 kali ganda daripada kaedah penghantaran biasa, mempersingkatkan waktu pengiriman capaian akhir serta mengurangkan carbon footprint.

 

Salmid Kerengga (kiri) menyerahkan barangan Pos Laju kepada penduduk Orang Asli di Muadzam Shah.
Salmid Kerengga (kiri) menyerahkan barangan Pos Laju kepada penduduk Orang Asli di Muadzam Shah.

 

Perjalanan 20 kilometer dalam hutan

MUADZAM SHAH: Menempuh perjalanan lebih 20 kilometer menggunakan motosikal dalam hutan antara cabaran yang dihadapi bertugas sebagai posmen kejiranan di kawasan pedalaman daerah ini.

Namun demi tugas diamanahkan, kepayahan itu tidak mematahkan semangat Salmid Kerengga, 42, memikul tanggungjawab yang diberikan oleh Pos Malaysia kepadanya sejak lima tahun lalu.

Dia yang berketurunan Orang Asli suku kaum Jakun berkata, perjalanan jauh dalam hutan menggunakan jalan batu begitu sinonim dengannya, motosikal yang bersih bertukar kotor dengan debu merah menjadi perkara biasa.

Katanya, setiap minggu dia ke Pejabat Pos Muadzam Shah yang terletak kira-kira 30 kilometer daripada rumahnya di Rancangan Penempatan Semula (RPS) Kedaik bagi mengambil antara 80 hingga 90 pelbagai jenis surat termasuk barangan yang dikirim menggunakan Perkhidmatan Pos Laju.

“Sebelum ini semua surat saya hantar dan serah kepada pemiliknya namun kini surat ditempatkan di pejabat Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Orang Asli (JKKOA) Kedaik, pemilik akan datang mengambilnya.

“Bagi surat penting seperti panggilan kerja, rawatan kesihatan dan tawaran ke universiti saya akan serah ke tangan pemiliknya walaupun terpaksa berjalan jauh berpuluh kilometer di dalam hutan.

“Barangan yang menggunakan perkhidmatan Pos Laju saya juga terpaksa serah ke tangan penerima,” kata bapa kepada tiga cahaya mata itu.

Salmid berkata, sebagai Posmen Kejiranan di RPS Kedaik yang menempatkan lebih 200 Orang Asli dia berbangga apabila melihat remaja Orang Asli berjaya melangkah ke menara gading hasil surat tawaran yang dia diserahkan.

 

Salmid Kerengga memikul tanggungjawab yang diberikan oleh Pos Malaysia kepadanya sejak lima tahun lalu.
Salmid Kerengga memikul tanggungjawab yang diberikan oleh Pos Malaysia kepadanya sejak lima tahun lalu.

 

Katanya, sebagai bakti kepada masyarakat Orang Asli di kawasan pedalaman dia secara suka rela turut menghantar surat milik penduduk beberapa kampung kecil jauh di dalam hutan antara Kampung Kedaik Asal dan Kampung Seri Rantau yang memerlukan perjalanan kira-kira 20 kilometer dalam hutan.

Menurutnya, cabaran lain dihadapi ialah surat yang alamat termasuk nama penerima tidak lengkap, dia terpaksa bertanya penduduk kampung bagi mengesan penerima sebenar walaupun memakan masa panjang.

“Terdapat kes saya dimarah oleh penerima barangan Pos Laju yang seolah tidak berminat barangan yang diterima saya hantar ke rumahnya, dia lebih suka mengambilnya di pejabat Pos Muadzam Shah walaupun terpaksa berjalan jauh.

“Saya berbangga dapat bertugas sebagai Posmen Kejiranan yang berkhidmat di kampung sendiri dan berterima kasih kepada Pos Malaysia kerana memberi kepercayaan kepada saya,” katanya.

Salmid berkata, isterinya Fatimah Ali, 34 memahami tugas digalas malah dia turut sama membantu menghantar surat di kawasan RPS Kedaik yang membabitkan perjalanan antara satu hingga dua kilometer sahaja.

Katanya, cabaran menguruskan perkhidmatan Pos Laju ialah membabitkan barangan bersaiz besar. Selepas mengambil menggunakan kereta di Pejabat Pos Muadzam Shah, dia kemudiannya terpaksa menggunakan motosikal untuk ke rumah penerima.

Katanya, musim tengkujuh yang berlaku setiap hujung tahun juga menjadi cabaran buatnya, jalan becak dan licin yang memerlukan dia lebih berhati-hati bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

 

Mohammad Azri ketika bertugas.
Mohammad Azri ketika bertugas.

 

Pandemik tidak halang tugas hantar surat

SHAH ALAM: Bertugas ketika negara dilanda pandemik COVID-19 memberikan cabaran tersendiri dan tidak dinafikan adakala timbul rasa bimbang turut dijangkiti penyakit itu yang boleh memberi kesan kepada keluarga.

Demi tugas dan amanah dipikul serta tanggungjawab digalas semua itu ditolak ke tepi.

Bagaimanapun, pengalaman terpaksa memakai pelitup muka serta sarung tangan getah walaupun dalam cuaca panas antara cabaran baharu yang dihadapi posmen ketika melakukan serahan surat dalam tempoh pandemik COVID-19 yang berlarutan sejak dua tahun lalu.

 

Mohammad Azri bertugas di Pusat Serahan Mel Klang Selatan.
Mohammad Azri bertugas di Pusat Serahan Mel Klang Selatan.

 

Bagaimanapun, bagi Mohammad Azri Bahuddin, 37, yang bertugas di Pusat Serahan Mel Klang Selatan, prosedur operasi standard (SOP) berkenaan adalah tuntutan kerja dan harus dilaksanakan.

“Pada awalnya, saya memang tidak biasa apabila terpaksa memakai pelitup muka setiap masa ketika melakukan serahan tambahan pula kita digalakkan untuk memakai ‘double mask’ untuk lebih perlindungan.

“Keadaan menjadi lebih tidak selesa apabila cuaca panas bagaimanapun, ia adalah sebahagian daripada SOP dan selepas hampir dua tahun, ia adalah perkara biasa bagi saya,” katanya ketika ditemui di Pusat Mel Nasional di Seksyen 21, dekat sini.

Beliau yang sudah 16 tahun bertugas berkata, selepas berlakunya pandemik, penyerahan surat juga turut berubah yang mana surat tidak digalakkan diberikan kepada penerima secara langsung termasuk surat berdaftar.

Katanya, sebelum ini penerima perlu tandatangan bukti mereka menerima surat berdaftar bagaimanapun kini penerima hanya perlu memberi nombor kad pengenalan dan posmen bertugas akan memasukkan ke dalam sistem menerusi telefon.

“Saya bersyukur kerana sepanjang bertugas dalam pandemik, saya tidak berhadapan dengan penerima surat yang positif COVID-19 yang mana rata-rata penduduk di kawasan serahan saya iaitu di Kampung Delek, Klang akan memaklumkan sekiranya ada kes positif atau penduduk sendiri meletakkan ‘signage’ bahawa mereka sedang kuarantin di depan rumah.

“Jika ada surat berdaftar, saya akan hubungi penerima untuk bertanya jika surat berkenaan penting dan perlu diterima dalam kadar segera,” katanya.

Sementara itu, petugas di bahagian servis Pusat Mel Nasional Shah Alam, Ruslizawati Mohammad Razali berkata tugasannya tidak banyak berubah berikutan SOP seperti penjarakan sosial sememangnya diamalkan Pos Malaysia sebelum COVID-19.

“Kami ada kawasan kerja masing-masing jadi penjarakan sosial tidak menjadi masalah. Apa yang lain ketika pandemik adalah kami perlu memakai pelitup muka serta tidak boleh makan dan berbual tanpa penjarakan seperti sebelum ini,” katanya yang berkhidmat di Pos Malaysia sejak 2005 lagi.  – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close