Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani melahirkan rasa bimbang terhadap sektor minyak sawit yang dikhuatiri mengalami nasib sama seperti industri getah, melainkan tindakan diambil untuk membaiki keadaan.
Beliau berkata, satu cara untuk menangani masalah penurunan pengeluaran minyak sawit adalah dengan meningkatkan keterlibatan bersama sektor swasta yang terbabit dalam industri itu.
Justeru, katanya, kementerian merancang untuk memainkan peranan lebih agresif dalam mempromosikan industri berkenaan, seterusnya diharap meningkatkan keyakinan perniagaan dan menggalakkan mereka lebih banyak melabur secara domestik.
“Pada 2023 pengeluaran minyak sawit mentah kurang daripada 18 juta metrik tan berbanding sedekad lalu ketika negara menghasilkan 19 juta tan metrik… ia tidak meningkat.
Dalam pada itu, Johari memberi contoh Vietnam yang mana kira-kira lima dekad lalu, negara itu menghasilkan 30,000 tan metrik getah.
Bagaimanapun, katanya, pada 2022 negara itu mengeluarkan lebih satu juta tan metrik berbanding 400,000 tan metrik yang dihasilkan Malaysia.
“Ia (Vietnam) kini negara pengeksport getah asli ketiga terbesar dunia.”
Johari berkata, antara sebab industri minyak sawit tidak berkembang adalah disebabkan pekebun kecil tidak mempunyai perancangan penggantian. – BH ONLINE/FMT