Malaysia

Kes Denggi Hingga 16 Disember Meningkat 89.3 Peratus – KP Kesihatan

Jumlah kumulatif kes denggi pada tahun ini hingga 16 Disember lalu meningkat sebanyak 89.3 peratus iaitu 117,505 kes berbanding 62,060 kes pada 2022, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan.

Dr Muhammad Radzi berkata, dalam tempoh sama, sebanyak 92 kes kematian akibat komplikasi demam denggi turut direkodkan iaitu meningkat daripada hanya 49 kematian pada tahun lalu.

“Pada Minggu Epidemiologi ke-50 2023 (ME50) iaitu bagi tempoh 10 hingga 16 Dis, jumlah kes denggi dilaporkan turut meningkat sebanyak 6.5 peratus atau 192 kes dengan 3,140 kes direkodkan berbanding 2,948 kes pada minggu sebelumnya.

“Bilangan lokaliti ‘hot spot’ yang dilaporkan pada ME50 juga bertambah kepada 124 lokaliti berbanding 101 lokaliti hot spot pada minggu sebelumnya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya menjaga kebersihan rumah dan persekitaran serta memastikan ia bebas daripada tempat pembiakan nyamuk Aedes adalah tanggungjawab bersama.

“Masyarakat dinasihatkan untuk terus melakukan aktiviti gotong-royong kendiri. Luangkan masa bersama keluarga memeriksa tempat pembiakan aedes di dalam dan persekitaran kediaman kita sekurang-kurangnya 10 minit setiap minggu,” katanya.

Orang ramai yang secara berterusan mempunyai simptom denggi seperti demam berterusan, cirit-birit dan sakit badan walaupun diuji negatif COVID-19, juga dinasihatkan untuk menjalani ujian demam di fasiliti kesihatan yang berhampiran.

Dalam pada itu bagi survelan kes chikungunya, Dr Muhammad Radzi berkata tiada wabak chikungunya dikesan pada ME50 namun satu kes direkodkan, menjadikan jumlah kumulatif kes penyakit itu sehingga kini ialah 193 kes .

Bagi survelan zika pula, beliau berkata sebanyak 3,733 sampel darah dan 411 sampel urin telah dijalankan saringan zika dan hasil kesemua sampel itu negatif. – BERNAMA

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close