Duniaku TeknokratPilihan Editor

UDA Memeterai Perjanjian Jual Beli Bangunan Hotel Di BBCC Bernilai RM295 Juta

UDA Holdings Bhd (UDA), peneraju pembangunan hartanah, pengurusan aset, fasiliti dan perhotelan memeterai perjanjian jual beli dengan BBCC Development Sdn Bhd (BBCC Development) bagi pembelian bangunan hotel di Bukit Bintang City Centre (BBCC) bernilai RM295 juta.

Pemeteraian perjanjian itu adalah langkah proaktif syarikat dalam memperkukuh aset secara strategik. Hotel yang menjadi sebahagian daripada pelan induk pembangunan BBCC itu dijangka siap dan bakal diserahkan kepada UDA pada suku ketiga tahun 2024.

Pengerusi UDA, Datuk Norliza Abdul Rahim, berkata, pembelian bangunan hotel bernilai RM295 juta itu adalah strategi UDA dalam merancakkan lagi cabang perniagaan hospitaliti menerusi anak syarikat AnCasa Hotels & Resorts.

UDA mempunyai kepakaran bidang berkenaan yang berupaya memacu perniagaan hotel yang bakal menjadi tumpuan pelancong di ibu kota.

“Pelaburan ini juga mampu meningkatkan keuntungan positif seterusnya menggalakkan industri pelancongan negara.

“Ini berikutan lokasinya yang strategik terletak di tengah bandaraya Kuala Lumpur serta akses mudah dengan hab pengangkutan yang komprehensif merangkumi Transit Aliran Massa (MRT), Transit Aliran Ringan (LRT) dan Monorel KL di BBCC,” kata beliau ketika menyaksikan upacara menandatangani perjanjian jual beli itu.

Perjanjian itu ditandatangani oleh Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Sr Mohd Salem Kailany dan Ketua Pegawai Eksekutif BBCC Development, Low Thiam Chin menurut UDA dalam satu kenyataan.

Majlis pemeteraian perjanjian itu turut disaksikan oleh Pengarah BBCC Development dan Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Eco World Development Group Bhd (EWDG), Datuk Chang Khim Wah.

Hotel berkenaan kelak mampu melengkapkan komponen pembangunan di BBCC yang turut dilengkapi dewan konsert Zepp Kuala Lumpur iaitu anak syarikat Sony Music Entertainment (Jepun) Inc; Malaysia Grand Bazaar; panggung wayang; dan dewan bankuet yang terletak dalam hab hiburan di bawah hotel terbabit.

Kini, fasa pembangunan bercampur di BBCC telah lengkap dengan pembangunan kediaman, pejabat dan kompleks beli-belah Mitsui Shopping Park Lalaport.

Hotel yang dijangka mula beroperasi pada suku ketiga tahun 2024 itu bakal menyediakan 450 unit penginapan dan menawarkan pilihan 1, 2 dan 3 bilik yang mampu memenuhi keperluan pelbagai lapisan pengunjung sama ada untuk urusan perniagaan mahupun bersantai.

Selain daripada menerapkan elemen sejarah Kuala Lumpur dalam keseluruhan konsep hotel, tema keunikan Malaysia turut diketengahkan bagi memberikan pengalaman baharu kepada tetamu hotel.

“Usaha ini selari dengan prinsip utama perniagaan hospitaliti iaitu ‘Enjoy Life’ di mana UDA komited menyediakan pengalaman terbaik sepanjang penginapan di rangkaian hotel UDA.

‘Enjoy Life’ merupakan sebahagian daripada penjenamaan baharu iaitu ‘Life’ yang membawa maksud Legacy (Legasi), Integrated (Integrasi), Finesse (Ketelitian) dan Enrich (Memperkasa). – BACALAHMALAYSIA.MY

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close