Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan pelantikan baharu bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Zabariah Mohd Yusof sebagai ahli baharu Majlis Penasihat Syariah (MPS) bank pusat itu bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa 1 Februari 2026.
BNM berkata, pelantikan ini dibuat menurut seksyen 53(1) Akta Bank Negara Malaysia 2009.
“Dengan pelantikan baharu ini, MPS akan dibarisi oleh sembilan ahli yang mempunyai kepakaran dan pengalaman dalam bidang syariah, kewangan Islam, perakaunan, audit dan undang-undang,” katanya.
Bank pusat itu menjelaskan, MPS merupakan badan berautoriti tertinggi bagi menentukan hukum syarak berhubung dengan perniagaan kewangan Islam di Malaysia selain memainkan peranan utama menggalakkan kepastian pada syariah serta mengekalkan keyakinan orang ramai terhadap industri kewangan Islam.
Keputusan syariah yang dibuat oleh MPS menjadi sumber rujukan institusi kewangan Islam bagi memastikan operasi perniagaan mereka mematuhi prinsip syariah.
“Selain itu, keputusan MPS juga boleh digunakan sebagai rujukan mahkamah dan penimbang tara,” katanya.
Selain Zabariah, MPS akan dibarisi lapan lagi ahli termasuk Pengerusinya, Datuk Prof Dr Ashraf Md Hashim, Prof Dr Engku Rabiah Adawiah Engku Ali (Timbalan Pengerusi) dan ahli-ahlinya terdiri daripada Burhanuddin Lukman, Datuk Dr Anhar Opir, Dr Marjan Muhammad, Dr Ahmad Basri Ibrahim, Prof Dr Amir Shaharuddin dan Dr Abdul Rahim Abdul Rahman. -BERNAMA




