Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) melantik Haizad Rizal sebagai Ketua Pegawai Kewangan (CFO) yang baharu berkuat kuasa 15 Ogos 2024.
LTAT dalam satu kenyataan berkata, Haizad mempunyai lebih daripada 22 tahun pengalaman dalam pengurusan kewangan dan kepimpinan strategik merentasi pelbagai industri.
Katanya, beliau sebelum ini pernah memegang jawatan CFO di Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) selain berkhidmat sebagai CFO Sime Darby Oils dan CFO Kumpulan SME Bank dari 2016 hingga 2024.
Haizad memulakan kerjaya selama satu dekad di Ireland dengan BDO Simpson Xavier, Daiwa Europe Fund Managers dan KPMG sebelum pulang ke Malaysia pada 2009 dan mengambil alih peranan kepimpinan termasuk Ketua Laporan Statutori dan Pengurusan Kumpulan di RHB Bank Bhd, diikuti oleh Ketua Kewangan di RHB Islamic Bank.
“Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian dalam Perakaunan dan Kewangan dari Liverpool John Moores University dan telah menamatkan Program Pengurusan Lanjutan dan Kepimpinan di Said Business School, Universiti Oxford,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kepakaran Haizad akan memainkan peranan penting dalam membawa LTAT ke arah tadbir urus operasi yang berintegriti dan juga kemajuan yang berterusan.
Katanya, yakin bahawa kepimpinannya akan memperkukuh misi untuk memastikan pengurusan kewangan yang bijak, selaras dengan aspirasi Perdana Menteri seperti yang dinyatakan semasa pelancaran Garis Panduan Pengurusan dan Tadbir Urus Badan Berkanun Persekutuan, baru-baru ini.
“Kepimpinannya juga akan mengukuhkan komitmen kami terhadap kesejahteraan anggota Angkatan Tentera Malaysia dan menyediakan perlindungan sosial secara menyeluruh kepada mereka yang berkhidmat demi negara,” katanya. – BH ONLINE