Oleh wartawan BacalahMalaysia.my
Sejumlah 120 pelajar dan 163 keluarga Orang Asli sekitar Pos Menson, Cameron Highlands menerima sumbangan persediaan persekolahan menerusi program ‘Back To School’ dan bantuan barangan keperluan asas di Dewan Kemasyarakat Orang Asli pada 1 Mac 2024 lalu.
Presiden Hostelling International Malaysia, Lt Kol (B) Hamirudin Hashim berkata program itu bertujuan untuk meringankan beban kewangan yang ditanggung ibu bapa dalam melakukan persediaan rapi untuk anak-anak yang akan memulakan sesi persekolahan pada minggu pertengahan Mac ini.
“Saya berterima kasih kepada dermawan kerana memberi sumbangan kepada murid sempena kembali ke sekolah. Bagi saya, pendidikan itu adalah benteng kita untuk mengelakkan rakyat daripada terjerumus dalam kancah kemiskinan.
“Kita akan teruskan program sebegini di sekitar Cameron Highlands termasuklah kawasan-kawasan Pos lain khususnya di kawasan yang jauh pendalaman kerana pelajar dan keluarga Orang Asli ini perlu dibantu sewajarnya,” katanya ketika ditemui pada program santai ‘Back to School’ di sini.
Pada program yang sama, wakil-wakil 163 keluarga Orang Asli turut diberikan sumbangan berbentuk barangan keperluan asas.
Kata Hamirudin, keperluan asas juga penting kerana harga barangan sekarang agak mahal apatah lagi isu logistik ke Cameron Highlands ini agak sukar untuk sampai ke pos-pos perkampung Orang Asli.
Semua sumbangan yang bernilai RM18,000 ini diterima dari para dermawan termasuk ahli-ahli kepada Hostelling International Malaysia. Program CSR sebegini telah dilaksanakan sebelum zaman PKP Covid-19 lagi dan sekarang ini, ia akan dilaksanakan mengikut keperluan dan golongan bersasar di seluruh negara. – BACALAHMALAYSIA.MY