Syarikat perkhidmatan seru pandu atau ‘e-hailing’, Maxim Malaysia menyasarkan untuk memperluas perkhidmatannya ke lebih banyak bandar khususnya di negeri-negeri utara tanah air pada tahun ini bagi memenuhi permintaan pengguna.
Pengarahnya, Ahmad Khamal Abd Manan, berkata pada masa ini, syarikat beroperasi di lebih 50 buah bandar di seluruh negara dan mempunyai antara 200 dan 500 pemandu di setiap bandar yang menjalankan perkhidmatan e-panggilan, kurier, kargo dan penghantaran makanan.
“Perancangan syarikat pada 2023 ialah memberi fokus kepada bandar-bandar di utara iaitu Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan utara Perak yang mempunyai jumlah pengguna yang tinggi.
“Di Kedah, kita sudah beroperasi di bandar Alor Setar, Sungai Petani, Kulim dan Langkawi yang mempunyai kira-kira 100 tempahan harian. Kami sedang meneliti permintaan pengguna di bandar-bandar lain di Kedah selain bandar-bandar di negeri berhampiran,” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.
Menurutnya, Maxim Malaysia yang beroperasi di negara ini sejak 2018 turut menyasarkan untuk beroperasi di kawasan pinggir bandar dan pedalaman bagi memperluas perkhidmatannya yang ketika ini banyak digunakan oleh golongan B40, pekerja kilang dan pelajar. -BERNAMA