MalaysiaPilihan Editor

Abang e-Hailing Terkejut Sedekah RM70 Dapat Balik RM700

“Saya beri RM70 kepada Mirza sebagai duit belanja, tetapi disebabkan hantarannya di media sosial, hampir RM700 sudah masuk ke akaun bank saya,” kata pemandu e-hailing, Mohamad Safie Rabian, 66.

Kisah kebaikan hati Mohamad Safie sebelum ini yang membantu seorang penumpang wanita yang sedang sakit tular dan menyentuh hati ramai warganet sehingga ramai yang memberikan sumbangan.

Namun, di sebalik kisah itu, ramai yang tidak tahu bahawa pemandu e-hailing berkenaan hanya seorang warga emas orang kurang upaya (OKU) yang bergantung hidup dengan melakukan kerja itu.

“Dulu saya dalam perkhidmatan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), tetapi berhenti awal, jadi tiada pencen. Untuk tampung keluarga saya kerja sebagai pemandu teksi.

Mohamad Safie yang turut menghidap penyakit jarang jumpa, Neurofibromatosis sejak kecil berkata, penyakit berkenaan dipercayai menyebabkan tulang kedua-dua belah bahunya mengeras.

“Pada 2019, bahu kanan saya sakit sangat dan tidak boleh bergerak sebelum membuat pemeriksaan dan mendapati terdapat tulang yang tumbuh dan menghalang pergerakan tangan.

“Saya buat pembedahan sebelah kanan sebelum bahu kiri pula kira-kira setahun kemudian. Pembedahan itu menyebabkan saya tidak boleh angkat barang berat dan kini memiliki kad OKU,” katanya.

Menceritakan kisah pertemuannya dengan penumpang yang dikenali sebagai Mirza, dia berkata, wanita berkenaan menempah khidmatnya untuk dibawa ke sebuah klinik swasta.

“Masa dia nak naik, memang nampak dia dalam keadaan lemah. Dalam kereta dia ceritakan sakit yang dialami dan minta dihantar ke satu klinik swasta.

“Sebaik tiba kami dapati ramai pesakit sedang menunggu. Sebelum itu dia juga beritahu yang dia hanya ada RM30 sahaja, jadi saya bawanya ke terus ke bahagian kecemasan Hospital Tuanku Jaafar, di sini,” katanya.

Tambahnya, dia membantu Mirza untuk pendaftaran sebelum pergi membelikannya sedikit makanan dan minuman kerana ketika dalam perjalanan wanita itu maklumkan belum bersarapan walaupun ketika itu sudah jam 10 pagi.

“Tidak lama selepas itu dia dimasukkan ke zon kuning. Saya hantar pesanan kepadanya jika perlukan apa-apa keperluan sekiranya ditahan di wad.

“Sebelum itu saya sempat berikan duit belanja RM70 kepadanya kerana dia beritahu keluarga berada di Ipoh dan dia hanya seorang diri di sini,” katanya.

Bagaimanapun, dia tidak menyangka wanita itu membuat hantaran di media sosial mengenai kejadian itu dan turut sertakan nombor akaun banknya.

“Sejak hari itu, ramai yang masukkan duit, ada RM2, RM10 dan RM50. Saya sangat bersyukur, tetapi saya rasa ini satu dugaan juga buat saya supaya tidak lalai.

“Malah, saya rasa ada sebab juga mengapa tuhan pertemukan saya dengan dia, ia untuk menguji saya. Difahamkan dia dipindahkan ke hospital di Ipoh,” katanya. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close