Duniaku TeknokratPilihan Editor

Kaedah Tabungan, Pelaburan KWSP Perlu Dipertingkatkan

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) perlu mengkaji untuk mempelbagaikan lagi kaedah penyimpanan, pelaburan serta saluran kewangan bagi memastikan pencarumnya mempunyai tabungan yang mencukupi selepas bersara.

Ini kerana KWSP menjangkakan 6.1 juta atau 50 peratus ahli yang berusia kurang daripada 55 tahun akan mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000 apabila bersara kelak.

Penganalisis Ekonomi Putra Business School (PBS), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, berkata bagi menangani perkara itu, KWSP perlu melaksanakan pelbagai langkah baru bagi meningkatkan tabungan dan pulangan.

Beliau berkata, antara kaedah yang boleh diguna pakai oleh KWSP adalah melaksanakan skim pencen khas secara berfokus.

Katanya, pencen khas ini perlulah dilaksanakan dengan memberi fokus kepada golongan B40 yang tidak mempunyai simpanan yang mencukupi untuk persaraan perlu dilaksanakan.

“Apa yang KWSP boleh lakukan adalah mengagihkan sebahagian pelaburan untuk tujuan itu dan ahli yang layak dimasukkan dalam skim pencen khas.

“Ketika ini kita sudah ada Skim Persaraan Swasta tetapi apa yang kita mahu sekarang ialah ahli diberi peluang untuk menukar pelan persaraan kepada skim pencen di bawah KWSP.

“Tetapi ia tidak dibuka kepada semua, hanya kepada yang benar-benar mempunyai simpanan yang sedikit serta golongan B40,” katanya kepada BH.

Sementara itu, Penganalisis Ekonomi Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, berkata pelbagai cara pelaburan yang boleh dilakukan dengan mengubah portfolio pencarum KWSP.

Beliau berkata, bagi menangani masalah golongan rentan dalam B40 dan M40 pula, KWSP boleh melihat jenis atau keperluan pelabur terhadap pelaburan.

“Bila dilaksanakan seperti ini, mungkin ada yang akan tidak bersetuju tetapi KWSP perlu menimbang risiko yang ada. Pelaburan itu jangan terlalu tinggi sehingga menghilangkan prinsipalnya.

“Kedua, mengkaji bagaimana firma persaraan lain seperti di Australia melaksanakan program simpanan pesara.

“Model yang dilaksanakan oleh negara lain perlu digunapakai jika bersesuaian seperti membenarkan ahli memilih jenis pelaburan yang mereka mahukan sesuai dengan selera serta risiko,” katanya.

Aimi Zulhazmi berkata, strategi pemberian dividen KWSP juga perlu dikaji semula untuk meningkatkan semula simpanan ahli terutamanya bagi mereka yang telah mengeluarkan simpanan melalui program khas i-Citra, i-Lestasi dan i-Sinar.

Beliau berkata, KWSP boleh memperkenalkan model pelaburan baru iaitu mempelbagaikan pelaburan secara berasingan mengikut jenis pencarum.

Sebagai contoh katanya, ahli yang mempunyai simpanan di bawah RM10,000 dan RM1,000 perlu diperkukuhkan semula dengan pelaburan yang lebih agresif dan memberikan pulangan tinggi. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close