Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini membuat keputusan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus.
Ini menandakan OPR berada pada paras berkenaan buat kali ketujuh berturut-turut sejak Julai 2025.
Dalam mesyuarat kali keempat tahun ini, MPC menjelaskan bahawa langkah mengekalkan OPR bersandarkan penunjuk terkini yang menunjukkan pertumbuhan global yang berdaya tahan secara keseluruhan, disokong oleh pengembangan teknologi yang kukuh serta keadaan bekalan dan harga komoditi utama yang bertambah baik.
Bank pusat berpendapat, pendirian dasar monetari adalah wajar dan konsisten dengan prospek kestabilan harga yang berterusan dan pertumbuhan ekonomi yang mampan.
“MPC akan terus memantau perkembangan semasa dan menilai imbangan risiko berhubung dengan prospek inflasi dan pertumbuhan dalam negeri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pada masa hadapan, BNM berkata, keadaan konflik di Asia Barat yang terus mereda akan menambah baik lagi keadaan rantaian bekalan global.
Namun, katanya, risiko pertumbuhan global menjadi rendah terus wujud, berpunca daripada ketidaktentuan yang berterusan berhubung dengan konflik berkenaan, di mana keadaan kewangan global yang lebih ketat, dengan kebimbangan tentang penilaian dalam pasaran kewangan.
“Potensi pertumbuhan menjadi pesat termasuk pemulihan keadaan rantaian bekalan yang lebih cepat daripada jangkaan, perbelanjaan teknologi yang lebih kukuh dan langkah dasar yang menyokong pertumbuhan di negara-negara maju,” katanya.
Bagi Malaysia, BNM menegaskan, perkembangan terkini menunjukkan pertumbuhan yang berdaya tahan pada suku kedua, didorong oleh permintaan dalam negeri yang mampan dan prestasi eksport yang lebih kukuh daripada jangkaan.
Namun, konflik Asia Barat yang masih tidak menentu boleh mempengaruhi prospek inflasi dan pertumbuhan dalam negeri.
“Asas Malaysia yang kukuh akan terus menyokong daya tahan ekonomi negara bagi menghadapi kejutan luaran. Guna tenaga, pertumbuhan upah serta langkah-langkah dasar akan kekal menyokong perbelanjaan isi rumah.
“Aktiviti pelaburan akan didorong oleh kemajuan projek berbilang tahun yang dilaksanakan dalam sektor swasta dan awam, pelaksanaan projek awam baharu berskala kecil, lebih banyak pelaksanaan berterusan pelaburan yang telah diluluskan, serta pelan induk nasional yang terus dilaksanakan,” katanya.
Menurut bank pusat, sektor luaran akan terus meningkat disebabkan oleh prospek pertumbuhan global yang bertambah baik dan permintaan yang mantap terhadap elektrik dan elektronik (E&E).
Katanya, pemulihan dalam eksport bukan E&E dan perbelanjaan pelancong yang berterusan akan memberikan sokongan tambahan.
Oleh itu, unjuran pertumbuhan bagi tahun 2026 dijangka berada kukuh dalam julat antara 4.0 hingga 5.0 peratus.
“Prospek pertumbuhan ini kekal bergantung pada risiko pertumbuhan menjadi rendah berikutan konflik Asia Barat yang berlarutan dan pengeluaran komoditi yang lebih rendah.
“Potensi pertumbuhan menjadi pesat boleh berpunca daripada prospek pertumbuhan global yang lebih baik berikutan konflik yang mereda, permintaan terhadap barangan E&E yang lebih kukuh dan aktiviti pelancongan yang lebih giat,” katanya.
BNM berkata, dalam lima bulan pertama tahun ini, inflasi keseluruhan dan inflasi teras masing-masing berpurata pada 1.7 peratus dan 2.1 peratus, di mana angka itu secara amnya selaras dengan jangkaan, dalam keadaan pindahan awal tekanan kos global yang lebih tinggi.
“Perkembangan berhubung dengan konflik Asia Barat kekal cepat berubah, dengan harga komoditi global yang tinggi dijangka memberikan tekanan menaik kepada inflasi.
“Bagaimanapun, kesannya terhadap inflasi keseluruhan dan inflasi teras pada tahun 2026 dijangka kekal terkawal. Hal ini mencerminkan langkah dasar dalam negeri dan keadaan permintaan yang stabil, yang akan mengurangkan pindahan tekanan kos luaran kepada harga dalam negeri,” katanya. – BH ONLINE




