MalaysiaPilihan Editor

Budaya Gangguan Seksual Perlu Dititiknoktahkan ! Tegas Wanita UMNO & BN Pulau Pinang

Oleh wartawan BacalahMalaysia.my

 

Wanita UMNO dan Wanita Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang memberi amaran keras supaya budaya gangguan seksual hendaklah dihentikan serta-merta bermula dari peringkat sekolah dan sistem pendidikan di negara ini, kata ketuanya, Datuk Norliza Abdul Rahim.

Beliau yang juga Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia turut mengulangi ketegasan bahawa sudah tiba masanya negara Malaysia sifar gangguan seksual yang boleh dikategorikan sebagai satu bentuk ugutan dan ancaman yang dilihat masih berakar-umbi dalam kalangan masyarakat kita.

“Budaya ini perlu dititknoktahkan !

Kenyataan yang mengatakan ugutan rogol terhadap mangsa mungkin adalah satu gurauan oleh Timbalan Ketua Polis Negara juga amat dikesali. Ia seolah-olah pihak polis memandang ringan ugutan seksual terhadap seorang perempuan.

“Pihak polis perlu memandang serius ugutan seperti ini dan bukannya diremeh-temehkan.

“Pihak polis mempunyai moral kepolisan untuk menegakkan undang-undang dan memastikan gangguan seksual dititiknotaktahkan,” ujar Norliza yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO MALAYSIA.

Tegasnya, Wanita UMNO dan Wanita BN Pulau Pinang mahu Kementerian Pendidikan perlu mengambil tindakan yang wajar berhubung isu gurauan seksual seorang guru jasmani yang mempersendakan jenayah seks dalam kelas. Kami mahu tindakan segera diambil pihak Kementerian Pendidikan dan pihak Polis DiRaja Malaysia.

Kenyataan Menteri Pendidikan bahawa perkara ini dalam siasatan polis dan enggan mengulas mengenai tindakan lanjut Kementerian seolah-olah mencuci tangan dalam kes ini.

Kementerian mempunyai kuasa untuk mendisplinkan guru berkenaan bagi memastikan perkara seperti ini tidak berulang.

“Kami juga mengulangi kekesalan terhadap perkara ini dan berdiri teguh bersama pelajar perempuan yang terlibat dan berani tampil untuk menegakkan martabat wanita.

“Sekiranya perlu, kami sedia menawarkan khidmat guaman percuma kepada pelajar yang telah mengalami gangguan emosi dan trauma akibat kejadian gangguan seksual yang dianggap tidak masuk akal dalam budaya kita yang mengamalkan amalan Rukun Negara di negara ini.

Gurauan yang membawa unsur seks tidak sama sekali boleh dibenarkan dalam sistem pendidikan kita, lebih-lebih lagi antara guru dan pelajar di dalam waktu pengajaran dan pembelajaran.

‘Kita tidak harus membiarkan kejadian seperti ini berulang di mana-mana institusi pendidikan kita,” kata Norliza.

Beliau berkata, Kementerian Pendidikan perlu bertindak tegas dengan mengambil tindakan disiplin terhadap mereka yang memandang ringan kejadian seperti ini termasuk guru yang menggunakan gurauan seks dalam mana-mana proses pengajaran dan pembelajaran.

“Budaya yang mendiskriminasikan wanita dan perempuan perlu dikikis daripada sistem pendidikan kita.

“Tanpa tindakan yang tegas, perkara seperti ini akan berulang tanpa henti dan mungkin menjadi lebih parah,” tegas Norliza. – BACALAHMALAYSIA.MY

 

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close